EKONOMI

SERBA DINAMIK HOLDINGS AKAN MUKTAMADKAN PELANTIKAN FIRMA BEBAS

31/05/2021 10:27 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei -- Serba Dinamik Holdings Bhd merujuk kepada laporan mengenai penamatan KPMG PLT sebagai juruaudit luar kumpulan dan cadangan pencalonan BDO PLT sebagai juruaudit luar yang baharu seperti yang diumumkan di Bursa Malaysia pada 28 Mei 2021. 

Dalam satu kenyataan hari ini syarikat itu menjelaskan ia telah menerima notis khas daripada pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif Datuk Abdul Kadier Sahib serta ahli jawatankuasa audit dan risiko untuk menamatkan khidmat KPMG sebagai juruaudit luar kumpulan.

Pada masa yang sama, Serba Dinamik juga ingin mengetengahkan hak mana-mana pemegang saham yang memiliki lebih daripada 10 peratus kepentingan dalam kumpulan, mengikut Seksyen 310 (b) Akta Syarikat 2016, untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM). 

Sementara itu, Seksyen 311 (2) Akta Syarikat 2016 membenarkan pemegang saham tersebut meminta lembaga pengarah mengadakan EGM melalui pengeluaran notis.

Satu notis khas dikehendaki untuk melaksanakan satu usul bagi mencadangkan penamatan juruaudit berkenaan dan mencalonkan juruaudit baharu kumpulan mengikut Seksyen 277 (1) Akta Syarikat.

''Berdasarkan peruntukan di atas, Abdul Kadier yang memiliki 15.96 peratus kepentingan dalam kumpulan, mempunyai prerogatif untuk mengeluarkan notis khas bagi membuat EGM dan menggerakkan usul untuk mengakhiri khidmat juruaudit serta mencalonkan yang baharu,'' katanya.

Serba Dinamik menjangkakan pemuktamadan pelantikan firma bebas itu dengan secepat mungkin dan akan memberikan firma bebas yang dilantik dengan tempoh yang mencukupi masa dan ruang bagi mengesahkan perkara-perkara yang dibangkitkan dengan ketepatan dan kebenaran.

Kumpulan itu menegaskan, dalam usahanya untuk terus membantu KPMG, telah mengambil tindakan segera bagi menangani perkara-perkara sebelum pengumuman dibuat kepada Bursa Malaysia pada 26 Mei 2021.

Serba Dinamik juga telah melibatkan firma bebas antarabangsa yang berpotensi untuk menilai ketersediaan dan ketepatan perkara yang ditimbulkan oleh juruaudit luar selepas berunding dengan Bursa Securities.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan