EKONOMI

ABDUL KADIER TAMBAH PEGANGAN DALAM SERBA DINAMIK KEPADA 16.17 PERATUS

04/06/2021 01:07 AM

KUALA LUMPUR, 3 Jun -- Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas Serba Dinamik Holdings Bhd, Datuk Abdul Kadier Sahib meningkatkan pegangan sahamnya dalam syarikat itu kepada 599.9 juta saham yang bersamaan 16.17 peratus kepentingan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, syarikat itu menjelaskan Abdul Kadier membeli tiga juta saham menerusi pasaran terbuka hari ini  selepas membeli lima juta unit pada Rabu.

Terdahulu dalam kenyataan awal, Serba Dinamik memaklumkan pihaknya telah melantik sebuah firma bebas untuk menilai kebenaran dan ketepatan perkara yang dibangkitkan oleh juruaudit luar dan akan melaporkan hasilnya kepada jawatankuasa bebas yang dibentuk.

Ia menambah, jawatankuasa itu tidak akan mempunyai wakil daripada pihak pengurusan untuk memastikan kedudukannya yang bebas.

Pada 28 Mei, Abdul Kadier, yang juga pemegang saham kedua terbesar dalam Serba Dinamik, mencadangkan penamatan KPMG PLT sebagai juruaudit luar syarikat.

Dalam auditnya, KPMG PLT mendapati ada perkara perlu diberikan perhatian iaitu transaksi jualan, belum bayar dan boleh bayar tertentu berjumlah lebih RM3 bilion.

Pada 2 Jun, Abdul Kadier menarik balik notis cadangan supaya mesyuarat agung luar biasa diadakan untuk menggantikan KPMG sebagai juruaudit luar dan mencadangkan BDO PLT sebagai juruaudit baharu.

Penarikan balik itu dibuat selepas pertimbangan, berdasarkan kebimbangan yang dibangkitkan oleh para pemegang saham dan pihak berkepentingan yang selama ini menyokong syarikat.

Serba Dinamik menjelaskan lembaga pengarah telah menerima notis penarikan balik itu dan susulan perkembangan tersebut, mengumumkan perkara itu selesai.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif dan pemegang saham terbesar Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah membeli 5.0 juta saham di pasaran terbuka pada Isnin, sekali gus meningkatkan pegangannya kepada hampir satu bilion saham atau 27.07 peratus kepentingan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan