EKONOMI

AWANG DAUD YAKIN DENGAN PROSPEK SERBA DINAMIK MESKIPUN BERLAKU PENJUALAN SAHAM

11/06/2021 10:43 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun -- Pengasas Bersama Serba Dinamik Holdings Bhd, Pengiran Datuk Awang Daud Awang Putera menyuarakan keyakinannya terhadap prospek penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu walaupun berlaku penjualan saham syarikat dalam peratusan yang kecil pada Khamis.

Dalam kenyataan pada Jumaat, beliau berkata penjualan saham itu disebabkan terutama oleh faktor teknikal pegangan margin pasaran saham dan bukannya sebagai satu langkah pelupusan saham.

Beliau berkata spekulasi mengenai beliau tidak seiringan dengan Serba Dinamik adalah dakwaan yang tidak berasas.

Awang Daud dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah ialah pengasas bersama Serba Dinamik sejak penubuhan syarikat itu pada 1993.

“Saya telah mengenali Abdul Karim sejak bertahun-tahun dan saya amat yakin dengan kemampuan kepimpinannya yang telah membawa syarikat sehingga mencapai kedudukan sekarang,” katanya yang mempunyai kaitan dengan syarikat itu atas pelbagai kapasiti sejak penubuhan Serba Dinamik.

Awang Daud berkata lembaga pengarah dan pengurusan kanan syarikat akan melakukan semua langkah yang diperlukan untuk menjelaskan segala pertanyaan berkaitan dengan isu audit yang dibangkitkan oleh KPMG PLT bagi melindungi kepentingan pihak berkepentingannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan