BERITA COVID–19   COVID: Majlis hari jadi cetus kluster Kimolohing di Ranau | COVID: 98.3 peratus daripada 5,726 kes baharu dari kategori satu dan dua - KP Kesihatan | Perwira Malaysia, Kelab My Sarawak sasar agih 700 bakul makanan untuk golongan terjejas COVID | SKM Kelantan sedia tabung khas COVID-19 bantu ahli koperasi | Malaysia rekod trend penurunan kes COVID-19 sejak Minggu Epidemiologi ke-34 | 
EKONOMI

IIB Ventures, MTDC bangunkan sehingga 200 usahawan teknologi baharu di Iskandar Puteri

18/06/2021 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun -- IIB Ventures Sdn Bhd, anak syarikat Iskandar Investment Bhd (IIB), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) untuk membangunkan sehingga 200 usahawan teknologi di Iskandar Puteri, Johor, memberi tumpuan kepada robotik dan teknologi baharu lain menjelang 2026.

Dalam kenyataan hari ini, IIB berkata MoU itu termasuk cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan (CoE) Robotik di Medini Iskandar, Johor bertujuan membangunkan usahawan teknologi dan tenaga kerja dalam bidang robotik dan teknologi baharu.

“IIB Ventures dan MTDC akan menyediakan akses pasaran dan peluang pengkomersialan untuk industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MoU itu ditandatangani pada majlis secara maya oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTDC Datuk Norhalim Yunus manakala IIB Ventures diwakili oleh Pengarah Urusannya, Zulfiqar Zainuddin.

Majlis itu disaksikan oleh Pengerusi MTDC Tan Sri Abd Rahman Mamat dan Presiden/CEO IIB Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad. 

Khairil Anwar berkata pembangunan 200 usahawan teknologi di Iskandar Puteri dalam tempoh lima tahun akan datang akan dicapai melalui program di bawah Iskandar NEXT, antara lain, Hab Inovasi Iskandar serta Zon Dron dan Robotik (DRZ) Iskandar.

“Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, IIB akan turut menyediakan syarikat-syarikat yang datang ke lokasi, akses kepada pasaran untuk peluang pengkomersialan, khidmat nasihat untuk pembiayaan, akses kepada mentor industri, mewujudkan kesedaran dan menyediakan pemudahan pengawalseliaan yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Norhalim berkata CoE Robotik akan menjadi kerjasama Pusat 9 Tonggak MTDC (Co9p) yang pertama dengan IIB Ventures di wilayah selatan untuk menyediakan platform kepada penyedia penyelesaian Industri 4.0 tempatan untuk membangunkan, mengembangkan dan menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian inovatif mereka kepada pelbagai sektor industri di Johor.

“MTDC mempunyai dalam ekosistemnya, syarikat tempatan yang telah menghasilkan penyelesaian Industri 4.0 yang disesuaikan, termasuk robotik, robot dan dron autonomi, yang dapat dikembangkan ke CoE Robotik.

“Kerjasama ini akan turut meningkatkan potensi besar untuk membangunkan tenaga kerja tempatan yang bersedia untuk Industri 4.0 dan membantu mencapai agenda transformasi digital sebagai sebahagian daripada inisiatif utama Iskandar Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA  


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan