EKONOMI

SERBA DINAMIK NAFI PENGANUGERAHAN KONTRAK ABU DHABI TERDAPAT ELEMEN TRANSAKSI PIHAK BERKAITAN

21/06/2021 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun -- Serba Dinamik Holdings Bhd menafikan terdapat sebarang elemen transaksi pihak berkaitan dalam pelaksanaan Block 7 Investments LLC apabila projek di Abu Dhabi diperoleh mula diumumkan pada April tahun lepas. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu turut menjelaskan bahawa Block 7 diperbadankan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan bukan di Amerika Syarikat seperti yang dilaporkan dalam The Edge Weekly pada 17 Jun, 2021.

Pada 12 April, 2020, anak syarikat milik penuhnya, Serba Dinamik International Ltd (SDIL) memperoleh kontrak bernilai US$1.78 bilion (US$1 = RM4.14) daripada Block 7 untuk kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) hab inovasi, kampus akademik, kemudahan berkaitan dan infrastruktur teknologi maklumat (IT) di Abu Dhabi, UAE.

“Bagi mengukuhkan pengembangan perniagaan Serba Dinamik dalam model pemilikan aset strategik, pada 2 Mac, 2021, pemilikan Block 7 dipindahkan kepada EFIRE Capital Holdings Ltd,” menurut syarikat itu.

Menurut Serba Dinamik, EFIRE dimiliki oleh LIWA Investment Holding dan SDIL, masing-masing dengan pemilikan 51 peratus dan 49 peratus. 

Selepas selesai pemindahan itu, syarikat tersebut berkata EFIRE dan LIWA memiliki Block 7, masing-masing dengan pegangan saham 99 peratus dan 1.0 peratus, menjadikan SDIL sebagai pemegang saham minoriti tidak langsung Block 7 berkuat kuasa 2 Mac, 2021.

Serba Dinamik berkata pada 31 Mac, 2021, Block 7 menandatangani perjanjian pajakan tanah jangka panjang dengan ZonesCorp/Abu Dhabi Port, antara pengendali terbesar zon ekonomi yang dibina khas di UAE dan dimiliki oleh kerajaan Abu Dhabi untuk membangunkan Projek Hab Inovasi di Bandar Perindustrian Abu Dhabi (ICAD).

“Dengan peluang untuk menyertai projek itu sebagai kontraktor EPC, SDIL dapat mengembangkan segmen perniagaan EPC syarikat.

“Selain itu, dengan penyertaannya sebagai pemegang saham ekuiti, SDIL juga berada dalam kedudukan yang baik untuk menawarkan perkhidmatan pengurusan kemudahan untuk penyelenggaraan projek tersebut setelah selesai dan seterusnya, mendapat manfaat daripada pendapatan yang stabil untuk jangka panjang,” katanya.

Serba Dinamik berkata struktur yang dinyatakan dilaksanakan demi kepentingan syarikat untuk pewujudan nilai dan kestabilan pendapatan pemegang saham untuk jangka panjang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan