EKONOMI

KPMG TIDAK LAGI MENJADI JURUAUDIT SERBA DINAMIK

24/06/2021 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun -- Messrs KPMG PLT telah menyerahkan notis peletakan jawatannya sebagai juruaudit Serba Dinamik Holdings Bhd, berkuat kuasa serta-merta, berikutan saman yang difailkan terhadap mereka oleh penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas itu.

Serba Dinamik dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata notis itu menyatakan bahawa saman yang telah difailkan pada 22 Jun lepas terhadap KPMG PLT berhubung audit berkanun berterusan syarikat bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021, telah menjejaskan keupayaan juruaudit itu untuk meneruskan auditnya secara profesional. 

''Syarikat kini sedang mengenal pasti juruaudit baru untuk dilantik, sesuai dengan Seksyen 271(2)(b) Akta Syarikat 2016 dan akan membuat pengumuman dengan segera selepas pemuktamadan pelantikan juruaudit ini," katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Serba Dinamik berkata ia tidak pernah mendakwa pengerusinya telah berhubung secara rasmi dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bursa Malaysia Bhd (Bursa). 

"Kami menghargai institusi tersebut kerana tidak merumitkan fakta kes ini, fakta yang masih ada pada umumnya," katanya. 

Syarikat itu memperakui pendapat oleh SC dan Bursa bahawa juruaudit boleh mempunyai beberapa elemen keraguan secara profesional semasa audit.

"Tetapi keraguan ini wajar dimaklumkan kepada pelanggan untuk mencari penyelesaian ke atas perkara-perkara yang diketengahkan dan atas dasar keraguan semata-mata tidak mencukupi untuk juruaudit membuat laporan secara pramatang kerana ini akan memudaratkan syarikat serta pasaran," tambahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan