EKONOMI

SERBA DINAMIK KEKAL RELEVAN, PENSTRUKTURAN ORGANISASI AKAN DIBUAT JIKA PERLU - PENGARAH URUSAN

25/06/2021 02:53 PM

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 25 Jun  -- Operasi harian penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global, Serba Dinamik Holdings Bhd, masih berjalan seperti biasa dan kekal relevan sebagai sebuah syarikat Bumiputera yang utuh walaupun sedang diselubungi cabaran cukup getir.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Mohd Karim Abdullah mengakui isu juruaudit luaran memerlukan tumpuan pihak pengurusan, tetapi setiap cabang perniagaan kumpulan syarikat tetap fokus kepada peranan masing-masing.

“Dalam keadaan sekarang, perniagaan kekal terus berjalan dan Serba Dinamik masih tetap komited dalam memberi pulangan dividen kepada para pemegang saham,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Karim tidak menolak kemungkinan akan ada perubahan struktur organisasi kumpulan dalam memastikan tadbir urus korporat diperkukuhkan mengikut prinsip Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia.

Beliau berkata Serba Dinamik juga sedang dalam perbincangan dengan beberapa bank antarabangsa untuk mendapatkan pinjaman perniagaan agar setiap perancangan dapat dilaksanakan.

“Perniagaan harus mempunyai beberapa langkah ke hadapan bagi menyediakan modal perniagaan dan buat waktu ini, kami telah mengadakan beberapa perbincangan bersama bank antarabangsa bagi penyediaan modal kerja,” ujarnya.

Menurutnya, syarikat-syarikat yang berada di bawah kumpulan Serba Dinamik tetap mempamerkan perkembangan menarik dalam setiap cabang perniagaan mereka di dalam dan luar negara.

Beliau berkata perniagaan pengeluar peralatan asal (OEM) terus relevan hari ini didorong terutamanya oleh kenaikan harga minyak mentah dunia pada AS$70 setong.

“Ia memberi margin tinggi dengan unjuran sebanyak 17 peratus berbanding pemain lain dalam pasaran huluan minyak dan gas. Inilah tinjauan sektor, khususnya perniagaan berteras OEM adalah cukup memberangsangkan,” katanya.

Selain itu, Mohd Karim berkata penerokaan Serba Dinamik dalam ekonomi aeroangkasa berjalan mengikut jadual dan bakal menubuhkan anak syarikat baharu untuk menceburi industri angkasa.

Menurutnya, anak syarikat itu akan menguruskan penglibatannya dalam industri tersebut melalui peningkatan kapasiti dan perkongsian dengan pelbagai agensi serta pemain antarabangsa.

Pada Mac lalu, Serba Dinamik mengumumkan kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk memperkukuh lagi perkembangan ekonomi dan industri aeroangkasa di Malaysia.

Dalam pada itu, MYSA turut mengambil inisiatif melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Angkasa Malaysia 2020 yang dibentangkan untuk bacaan pertama tahun lalu.

Mohd Karim berkata, rancangan Serba Dinamik untuk menceburkan diri dalam ekonomi aeroangkasa adalah bertujuan untuk menghubungkan teknologi maklumat dan komunikasi.

Ini kerana, jelasnya, ia merupakan salah satu kecekapan teras dalam syarikat menerusi penyambungan internet ke kawasan, khususnya yang masih tidak mempunyai sambungan internet di negeri yang dibekalkan atau tidak dibekalkan teknologi satelit.

"Ini penting untuk menyokong pelbagai inisiatif syarikat mengenai jurang teknologi yang memerlukan sambungan jalur lebar dan internet untuk merealisasikan penggunaannya," tambahnya.

Menurutnya, penyediaan kemudahan dan infrastruktur itu secara tidak langsung membuka pasaran lebih besar untuk industri berkaitan di bawah Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

Serba Dinamik juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan SWISSto12, yang merupakan pakar dalam teknologi pembuatan komponen untuk digunakan dalam satelit melalui percetakan 3D berpusat di Switzerland.

Melalui kerjasama itu, katanya, syarikat tersebut akan meningkatkan kemampuannya dalam bidang kejuruteraan bernilai tinggi yang diperlukan untuk menyokong ekonomi aeroangkasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan