BERITA COVID–19   Rusia lapor kes pertama varian Omicron | Enam lagi pelajar Maktab Mahmud Sik positif COVID-19 | 98.2 peratus kes baharu COVID-19 kategori satu dan dua | Rakyat sokong langkah Jepun hentikan pengeluaran baharu visa warga asing | Arab Saudi perincikan syarat pemberian status 'imun' bagi pengembara luar | 
EKONOMI

EY setuju jadi penilai bebas Serba Dinamik

28/06/2021 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun  -- Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY) telah menerima pelantikan sebagai penilai bebas Serba Dinamik Holdings bagi menyemak kesahihan dan ketepatan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh bekas juruaudit luar syarikat itu, KPMG PLT.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini, Serba Dinamik yang juga penyedia perkhidmatan minyak dan gas, berkata ia telah bersetuju dengan syarat ditetapkan EY bagi memastikan sesi libat urus terbabit dijalankan secara bebas serta objektif demi manfaat semua pihak berkepentingan.

Menurutnya, antara syarat itu adalah supaya EY mendapat akses penuh, termasuk dengan KPMG PLT dari segi maklumat dan pengesahan yang bertujuan menganalisis transaksi atau urus niaga serta kebimbangan membabitkan isu-isu berbangkit.

Malah, sesi libat urus terbabit perlu dilaksanakan di bawah pembabitan serta seliaan rapat oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia.

Serba Dinamik berkata, EY meminta supaya sesi libat urus terbabit turut dilaporkan kepada ahli bebas Lembaga Pengarah syarikat  serta tiada perubahan skop penglibatannya sebagaimana dipersetujui dengan pengarah-pengarah bebas dan Bursa Malaysia sebelum ini.

“Bagaimanapun, susulan perkembangan membabitkan penarikan diri KPMG sebagai juruaudit luar syarikat itu, EY memerlukan jaminan bahawa syarat yang disenaraikan itu masih kekal sebelum bertindak melaksanakan surat penglibatan dan melakukan penilaian itu,” katanya.

Menurutnya, ini termasuk pengesahan bertulis KPMG untuk memberi kerjasama dari segi memberi akses dan maklumat kepada EY bagi tujuan memahami dakwaan yang dibangkitkan dan dikenal pasti seperti proses pengesahan kepada pelanggan terbabit.

Syarat lain adalah kertas kerja relevan seperti pengesahan dan urusan komunikasi berkaitan penemuan serta kebimbangan telah dibangkitkan itu, katanya.

“Berikutan itu, sejurus mesyuarat lembaga pengarah pada 25 Jun lepas, peguam syarikat iaitu Shafee & Co telah menulis kepada Lee Hishammuddin Allen & Gledhill yang juga peguam KPMG bagi mengesahkan syarat yang dikemukakan oleh EY,” katanya.

Menurutnya, salinan surat tersebut juga telah diserahkan kepada Bursa Malaysia.

“Syarikat masih lagi menunggu maklum balas pihak KPMG PLT menerusi peguamnya,” katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan