BERITA COVID–19   Rusia lapor kes pertama varian Omicron | Enam lagi pelajar Maktab Mahmud Sik positif COVID-19 | 98.2 peratus kes baharu COVID-19 kategori satu dan dua | Rakyat sokong langkah Jepun hentikan pengeluaran baharu visa warga asing | Arab Saudi perincikan syarat pemberian status 'imun' bagi pengembara luar | 
EKONOMI

Serba Dinamik peruntukan RM2.13 juta untuk CSR

01/07/2021 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai -- Serba Dinamik Holdings Bhd telah memperuntukkan RM2.13 juta sebagai perbelanjaan Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) bagi tempoh Jun hingga Disember 2021, kata Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Ir Mohd Abdul Karim Abdullah. 

Beliau berkata aktiviti CSR kumpulan itu memberi tumpuan kepada bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan semantik am melalui satu pasukan khas yang dipanggil Serba Care.

"Pasukan Serba Care mengadakan aktiviti CSR yang membantu membasmi kelaparan dan malnutrisi, mempromosikan pendidikan serta penjagaan kesihatan, membantu golongan yang memerlukan, menyokong persekitaran yang mampan dan projek pembangunan luar bandar.

"Mulai Jun hingga Disember 2021, syarikat menyediakan aktiviti CSR ke enam negeri iaitu Selangor, Sarawak, Sabah, Johor, Terengganu dan Melaka," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut Mohd Abdul Karim lagi, sebelum sesuatu projek CSR dilancarkan, kajian dan penyelidikan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti komuniti yang memerlukan pembangunan serta bantuan.

Syarikat juga berinteraksi dengan pihak berkepentingan dan Lembaga Pengarah untuk memastikan projek-projeknya dijalankan dengan berkesan dari awal hingga pelaksanaan, katanya.

Di bawah Pasukan Serba Care, kakitangan syarikat juga memainkan peranan dengan memberi kembali kepada masyarakat dengan menyertai pelbagai aktiviti atau projek. 

"Antaranya membabitkan program yang dijalankan semasa pandemik COVID-19, yang mana pekerja secara sukarela membantu mempromosikan penjagaan kesihatan, pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak serta warga tua di Malaysia. 

"Aktiviti atau projek lain merangkumi pembekalan topeng perubatan termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) kepada semua tapak kuarantin, hospital dan klinik di negeri-negeri berkenaan.

Selain itu, Mohd Abdul Karim berkata Serba Dinamik turut memberikan bantuan kecemasan kepada rakyat Palestin, yang mana dana yang dikutip daripada pelbagai cawangan syarikat dalam negara diserahkan kepada badan bukan kerajaan masing-masing. 

Tahun lepas, Serba Dinamik merangkul anugerah Syarikat Terbaik Tahun ini di bawah kategori Perkhidmatan Kejuruteraan serta Penyelesaian Minyak dan Gas pada Anugerah Kemampanan dan CSR Malaysia 2020.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan