EKONOMI

USAHA SAMA ANTARA MALAYSIA DAN QATAR UNTUK AKTIFKAN SEMULA EKONOMI PASCA COVID-19 - MITI

05/07/2021 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai -- Usaha bersama antara Malaysia dan Qatar melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) adalah untuk mengaktif semula ekonomi yang mampan pasca COVID-19, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini.

MITI dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini mengetuai delegasi TIM ke Qatar selama tiga hari untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan dan juga bagi meningkatkan hubungan perdagangan serta ekonomi dua hala.

"Kerajaan Malaysia dan Qatar komited untuk meneruskan usaha dalam pengoperasian strategi melalui pertemuan Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Qatar (JTC) ketiga yang memerlukan penyertaan kukuh sektor swasta dalam dialog tersebut.

"Kedua-dua kerajaan akan bersama-sama menjayakan Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA) untuk menggalakkan lebih banyak aliran pelaburan antara Qatar dan Malaysia," kata MITI.

Mohammed Azmin dalam kenyataan yang sama berkata menerusi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang ditandatangi, Qatar dapat menggunakan Malaysia sebagai pusat perdagangannya di rantau ASEAN kerna Malaysia menawarkan lokasi terbaik di rantau ini kerana mempunyai hubungan kepada saiz pasaran melebihi dua bilion orang.

Mengenai pelaburan dua hala, Mohammed Azmin berkata projek-projek Malaysia sebagai perkara utama untuk memajukan kepentingan Malaysia berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Promosi Pelaburan Qatar (IPAQ), kedua-dua agensi tersebut boleh menjayakannya.

Semasa pertemuan dengan Menteri Perdagangan dan Industri merangkap Pemangku Menteri Kewangan Ali bin Ahmed Al Kuwari, menteri kanan itu telah membincangkan pelbagai perkara termasuk keadaan pandemik COVID-19 semasa dan bagaimana cara terbaik untuk mewujudkan usaha bersama untuk pemulihan ekonomi yang mampan.

Beliau juga mengulangi kenyataan bahawa Pelan Pemulihan Negara (PPN) Malaysia, strategi untuk membawa keluar negara dari kemelut pandemik COVID-19 adalah komprehensif dan jelas.

Mohammed Azmin dijadual bertemu Perdana Menteri Qatar Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdulaziz Al Thani hari ini untuk memulakan perbincangan mengenai Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) Malaysia yang akan mendorong dan mempertingkatkan kerjasama yang kukuh dengan Qatar.

TIM akan meneruskan pertemuan perniagaan yang disasarkan bagi mewujdukan peluang dan kerjasama baharu yang sangat penting untuk pengembangan kerjasama strategik antara sektot awam dan swasta, kata MITI.

Pertemuan akan diadakan dengan pemimpin terkemuka syarikat Qatar dalam perkhidmatan runcit, keselamatan siber dan bidang lain yang akan memperluaskan jejak Malaysia dalam industri halal global.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan