BERITA COVID–19   Peningkatan R-naught di N. Sembilan, MB ingatkan masyarakat patuh SOP | COVID: 1.8 peratus daripada 5,516 kes baharu kategori tiga, empat dan lima - KP Kesihatan | PEMIKIR minta kerajaan P.Pinang bina asrama warga asing di Zon Industri | Penularan COVID-19 negara terus catat trend penurunan - KP Kesihatan | COVID: Jumlah kes baharu di Sarawak bawah 1,000 untuk tiga hari berturut-turut | 
EKONOMI

Ekosistem galak pengkomersialan R&D koko perlu diwujudkan - Mohd Khairuddin

26/07/2021 03:05 PM

PUTRAJAYA, 26 Julai -- Satu ekosistem yang menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) Lembaga Koko Malaysia (LKM) perlu diwujudkan untuk menghasilkan lebih banyak produk berasaskan koko yang berkualiti, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata LKM turut menyasar untuk menghasilkan lebih 10 inovasi atau teknologi baharu berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

“Pencapaian sektor koko perlu ditingkatkan lagi bagi membolehkan Malaysia terus bersaing sebagai pasaran penting selain mengambil peluang dari pasaran antarabangsa yang giat berkembang,” katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Tahunan Saintis LKM (MASW) 2021 secara maya pada Isnin.

Beliau berkata projek R&D LKM bermula sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) (2001-2005) dan sehingga kini sebanyak 105 projek dengan peruntukan berjumlah RM75.3 juta dijalankan.

Sebanyak 17 projek R&D bernilai RM42.7 juta telah dilaksanakan manakala 630 penerbitan berimpak tinggi serta laporan teknikal telah dihasilkan sepanjang Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), katanya.

Beliau berkata selain itu, sembilan projek R&D bernilai RM14.1 juta sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

Mohd Khairuddin berkata penyelidikan LKM telah menerima 60 pengiktirafan di dalam dan luar negara bagi inovasi dan teknologi yang dihasilkan melalui aktiviti R&D manakala 38 inovasi dan teknologi yang dihasilkan di bawah RMK11 telah memperoleh hak harta intelek.

LKM telah menumpukan penyelidikan berasaskan permintaan pasaran mulai 2014 dengan 63 teknologi dan produk dibangunkan antaranya bagi menghasilkan klon koko baharu, teknologi pengurusan kebun, kawalan penyakit dan pemprosesan komoditi serta penghasilan produk makanan dan bukan makanan berasaskan koko, katanya.

Beliau berkata kerjasama antara LKM dan Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) yang terjalin sejak 2019 di bawah program ‘Innovation to Market’ (I2M) akan diteruskan agar usaha pengkomersialan produk R&D LKM dapat direalisasikan.

Sektor koko menyumbangkan sebanyak RM6.23 bilion kepada pendapatan eksport negara pada 2020 dan RM1.64 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun yang sama, iaitu meningkat 5.4 peratus daripada RM1.56 bilion pada 2019, katanya.

MASW 2021 bertemakan ‘Mentransformasikan Budaya R&D ke arah Penyelidikan Dipacu Pasaran’ (Transforming R&D Culture Towards Market-Driven Research) untuk meningkatkan keupayaan penyelidik LKM serta menggalakkan pengkomersialan hasil R&D LKM.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan