KUALA LUMPUR, 16 Ogos -- Malaysia perlu menambah bekalan rumah mampu milik di samping memastikan prosedur pemilihannya adalah koheren dan telus.
Penyelidik di Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (REFSA), Lillian Wee berkata pandemik COVID-19 telah meningkatkan kekurangan dan memperluas jurang krisis kemampuan pemilikan rumah di Malaysia namun, ia juga mewujudkan peluang untuk memikirkan kembali, merancang dan merangka semula dasar utama yang akan membentuk masa depan bagi punca pendapatan rakyat.
“Apabila akibat dari pasaran hartanah yang menyimpang adalah bandar-bandar dikenakan sekatan pergerakan dengan ramai tidak ada tempat tinggal, ekonomi tidak berkembang, dan yang paling buruk ialah kehilangan rumah, kemudahan asas dan yang terpenting adalah kehidupan, kita tidak boleh lagi menunggu. Kini adalah masa untuk melakukan tindakan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata pada 1990, purata harga rumah adalah bersamaan dengan kira-kira 4.7 tahun pendapatan per kapita, dan kini ia meningkat hampir sekali ganda kepada 9.5 tahun.
Bagi tempoh 1990 hingga 2019, purata harga rumah meningkat 5.6 kali, atau kenaikan modal 460 peratus.
Sebaliknya, pendapatan per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar hanya meningkat 2.8 kali atau 180 peratus.
Dalam situasi semua ini, ketersediaan perumahan kos rendah adalah lembap.
Daripada sejumlah 117,766 unit perumahan baharu yang dibina pada 2020, hanya 14,094 unit atau 12 peratus sahaja rumah kos rendah atau yang berharga di bawah RM400,000.
“Angka ini gagal memenuhi sasaran Majlis Perumahan Mampu Milik Negara untuk membina 100,000 unit rumah kos rendah setiap tahun,” katanya.
Sementara itu, 13,622 unit yang tidak terjual di seluruh Malaysia pula adalah yang berharga lebih RM500,000.
Wee juga menekankan bahawa pengawalseliaan pasaran sewa perlu ditambah baik dan dilindungi untuk menyeimbangkan kuasa undang-undang di antara pemilik dan penyewa.
“Berdasarkan yang sedia ada, penyewaan lazimya kurang selamat, banyak penyewa dihalang untuk menjadikan tempat kediaman mereka sebagai rumah mereka dan penyewa juga terlepas manfaat cukai dan kebajikan daripada pemilikan rumah.
“Justeru, kerajaan dan pembuat dasar perlu mempertimbangkan langkah-langkah perlindungan seperti menghapuskan pengusiran 'tanpa alasan', melanjutkan tempoh pemberitahuan minimum dan mewujudkan rejim yang berbeza bagi pajakan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata bagi mereka yang sudah kehilangan tempat tinggal atau mendiami rumah yang sesak, tempat penginapan kecemasan sementara dengan kemudahan kebersihan asas perlu disediakan.
Matlamat ini dapat dicapai dengan memanfaatkan dan menukar bangunan persendirian yang tidak digunakan seperti pusat beli-belah dan hotel yang ditinggalkan, selain menyesuaikan penggunaan bagi tujuan yang berbeza ke atas aset masyarakat seperti sekolah dan pusat komuniti yang pada masa ini ditutup, sebagai penyelesaian jangka pendek untuk golongan miskin bandar atau tiada tempat tinggal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial