BERITA COVID–19   Rusia lapor kes pertama varian Omicron | Enam lagi pelajar Maktab Mahmud Sik positif COVID-19 | 98.2 peratus kes baharu COVID-19 kategori satu dan dua | Rakyat sokong langkah Jepun hentikan pengeluaran baharu visa warga asing | Arab Saudi perincikan syarat pemberian status 'imun' bagi pengembara luar | 
EKONOMI

MIDA, HSBC Malaysia perbaharui kerjasama bagi tarik lebih banyak pelaburan global

18/08/2021 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos  -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan HSBC Malaysia telah memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) mereka, mengekalkan komitmen mereka untuk menarik lebih banyak pelaburan global ke Malaysia.

MoU itu turut menyasarkan untuk memudahkan penubuhan dan pengembangan syarikat multinasional di negara ini, dengan fokus untuk memulihkan dan meningkatkan ekonomi Malaysia semasa dan selepas COVID-19.

Ini dilakukan dengan memaksimumkan peluang pelaburan langsung asing yang berpotensi ke negara ini, terutamanya dalam sektor pembuatan, iaitu industri elektrik dan elektronik, kimia, mesin dan peralatan, aeroangkasa dan peranti perubatan.

Dalam kenyataan bersama hari ini, katanya walaupun terdapat pandemik, industri ini terus memainkan peranan penting dalam mendorong Malaysia ke arah kepelbagaian strategi untuk meningkatkan daya saingnya dengan memberi tumpuan kepada produk dan perkhidmatan yang kompleks, berteraskan pengetahuan dan mewah.

“MoU ini sejajar dengan rangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) kita untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi.

“Malaysia akan terus menjadi, rakan perniagaan yang strategik untuk perniagaan dalam ASEAN dan selainnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman.

Beliau berkata memperbaharui kerjasama dengan HSBC Malaysia menunjukkan komitmen MIDA untuk membantu pelabur dan memberikan sokongan yang lebih kuat yang dapat menangani gelombang pandemik semasa.

“Kepakaran HSBC yang luas dalam perdagangan dan pelaburan rentas sempadan akan terus menjadi tambahan yang tidak ternilai kepada pihak berkepentingan MIDA, membantu mereka membuat keputusan pelaburan yang tepat semasa menjalankan perniagaan mereka dalam pelbagai pasaran.

“Ini akan membolehkan aliran aktiviti pelaburan yang berkualiti secara berterusan di negara ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Stuart Milne berkata bank terus komited dengan agenda negara untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan di Asia.

“Dengan kedudukan kami di peringkat antarabangsa dan akses kepada pasaran utama di seluruh dunia, kami ingin bekerjasama dengan MIDA dalam program pembangunan negara untuk merebut peluang pertumbuhan.

“Kami mengalu-alukan kerjasama kami yang dipertingkatkan dan pencapaian kerjasama yang baik, menghubungkan pelabur global dengan MIDA,” katanya.

Milne berkata kerjasama awam-swasta yang strategik akan memanfaatkan inisiatif pemasaran dan pertukaran perdagangan MIDA, seperti misi perdagangan dan pelaburan, selain memanfaatkan kedudukan HSBC di peringkat global dan hubungan dengan pelanggan korporat global di lebih 60 negara.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan