AM

LEBIH 500 PENDUDUK DAPAT MANFAAT OUTREACH VAKSIN COVID-19, SURFI-BAH!

21/08/2021 10:21 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos -- Lebih 500 penduduk tempatan dari dua perkampungan di kawasan pedalaman sekitar Inanam dan Tuaran, Sabah mendapat manfaat daripada Program Outreach Vaksin COVID-19 dan Perkhidmatan Internet Satelit, SurFi-bah!, kelmarin.

Program di Balai Raya Kampung Pinahawon, Tuaran dan Sekolah Kebangsaan (SK) Ruminding, Inanam itu adalah hasil kerjasama awam-swasta antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Serba Dinamik Holdings Berhad‭ ‬(SDHB)‭ ‬bersama sebuah syarikat penyedia internet tempatan, Gemilang Sdn Bhd.

Pengarah Urusan Kumpulan SDHB Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata dua kawasan perkampungan itu telah mendapat perhatian pihak SHDB dan KSTI kerana kesukaran penduduk mendapatkan vaksin selain menyediakan bantuan kemudahan internet satelit. 

“Pihak SDHB ‭juga akan ‬meluaskan‭ ‬program‭ ‬outreach itu ke‭ ‬seluruh pelusuk‭ ‬pedalaman Sabah bagi‭ ‬membolehkan‭ ‬penduduk mendapat vaksin COVID-19 sekali gus memudahkan mereka kerana tidak perlu ke pusat perkhidmatan‭ ‬vaksin (PPV) lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

‭Mengulas lanjut berhubung SurFi-bah!, Mohd Abdul Karim berkata perkhidmatan internet yang pertama seumpama itu di dua perkampungan itu juga membolehkan ‬penduduk‭ sekitar ‬menikmati kemudahan satelit internet di kampung mereka.

“Pada‭ ‬masa‭ ‬sama,‭ ‬SDHB‭ ‬juga‭ ‬dalam‭ ‬perancangan‭ ‬meneroka‭ ‬lebih‭ ‬banyak kawasan terpencil di Sabah bagi memancarkan perkhidmatan internet menerusi satelit,” katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan SK Ruminding, Losius Marasim berkata kemudahan satelit internet percuma berkenaan telah memberikan manfaat kepada warga sekolah yang nyata gusar dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) terjejas berikutan masalah capaian internet yang lemah dan terhad. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan