BERITA COVID–19   Peningkatan R-naught di N. Sembilan, MB ingatkan masyarakat patuh SOP | COVID: 1.8 peratus daripada 5,516 kes baharu kategori tiga, empat dan lima - KP Kesihatan | PEMIKIR minta kerajaan P.Pinang bina asrama warga asing di Zon Industri | Penularan COVID-19 negara terus catat trend penurunan - KP Kesihatan | COVID: Jumlah kes baharu di Sarawak bawah 1,000 untuk tiga hari berturut-turut | 
AM

RM26.34 juta peruntukan disalurkan tangani kesan COVID di N. Sembilan - MB

06/09/2021 01:09 PM

SEREMBAN, 6 Sept -- Sebanyak RM26.34 juta peruntukan disalurkan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Negeri Sembilan bagi membiayai kos pengoperasian dan pengurusan dalam menangani pandemik COVID-19 di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Jun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata daripada jumlah itu, RM6.84 juta disalurkan bagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta stesen kuarantin berbanding RM4.4 juta pada tahun lepas melalui Pejabat Daerah dan Tanah masing-masing.

“Selain itu, RM9.56 juta diagihkan untuk operasi pusat pemberian vaksin (PPV) yang mana sehingga Ogos lepas RM6.5 juta telah dibelanjakan selain RM10 juta pula disalurkan bagi Program Strategik Memperkasakan Rakyat dan Ekonomi dan pelaksanaan projek berskala kecil.

“Peruntukan itu susulan peningkatan kes yang mendadak dan meletakkan Negeri Sembilan dalam kedudukan lima teratas peningkatan kes harian untuk suatu tempoh sebelum ini, bagaimanapun dengan usaha dan komitmen berterusan, kita berjaya beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara mulai 4 Sept lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Gemencheh) mengenai jumlah bantuan disalurkan kepada kerajan negeri untuk membendung penularan COVID-19, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk L Manickam (BN-Jeram Padang) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri akan mewujudkan PPV sementara khusus untuk warga asing termasuk di ladang-ladang, Aminuddin berkata perkara itu akan dipertimbangkan dan dipanjangkan kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Sementara itu, bagi meringankan beban pemain industri pelancongan mendepani penularan COVID-19, beliau berkata sebanyak RM1.71 juta bantuan diperuntukkan termasuk membabitkan bantuan tunai one-off kepada persatuan pelancongan negeri, rebat cukai taksiran dan lesen perniagaan.

Beliau menjawab soalan Datuk Tun Hairudin Abu Bakar (BN-Bagan Pinang) berkenaan insentif dirancang kerajaan negeri dalam membantu penggiat industri pelancongan di Negeri Sembilan dalam berdepan kesan wabak itu.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan