EKONOMI

MIDA METERAI MOU DENGAN CITI UNTUK KEMUDAHAN KEWANGAN KEPADA PELABUR ASING

08/09/2021 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Citibank Bhd (Citi Malaysia) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk menjalin kerjasama meluaskan platform kewangan dan penyediaan perkhidmatan perbankan menyeluruh oleh Citi Malaysia kepada pelabur baharu dan pelabur asing sedia ada di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman berkata kerjasama itu adalah untuk merangsang persekitaran perniagaan yang aktif dalam fasa pemulihan ekonomi ketika ini.

Beliau berkata selari dengan perubahan landskap perniagaan global, Malaysia mengambil inisiatif berani dan berimpak untuk menggalakkan pelabur sedia ada serta pelabur baharu dan pemain industri untuk membuat pelaburan baharu di Malaysia.

“MOU dengan Citi Malaysia menandakan komitmen berterusan MIDA dalam mendapatkan projek berteknologi tinggi dan tokokan nilai tinggi mengikut kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional dan matlamat Rancangan Malaysia kedua belas (RMKe-12) bagi memacukan lagi pertumbuhan ekonomi,” kata Arham dalam satu kenyataan hari ini.

Kerjasama itu juga akan meningkatkan usaha berterusan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini, tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Citi Malaysia, Usman Ahmed berkata walaupun berdepan cabaran yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, bank itu menyaksikan pertumbuhan aliran masuk yang ketara di koridor pelaburan utama ketika Malaysia terus unggul sebagai destinasi pelaburan yang penting dan kompetitif.

“Anak syarikat global dan perniagaan perbankan komersial kami menerajui usaha dalam memudahkan aliran ini dan kerjasama dengan MIDA ini akan membantu kedua-dua organisasi untuk saling melengkapi usaha masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan