BERITA COVID–19   Peningkatan R-naught di N. Sembilan, MB ingatkan masyarakat patuh SOP | COVID: 1.8 peratus daripada 5,516 kes baharu kategori tiga, empat dan lima - KP Kesihatan | PEMIKIR minta kerajaan P.Pinang bina asrama warga asing di Zon Industri | Penularan COVID-19 negara terus catat trend penurunan - KP Kesihatan | COVID: Jumlah kes baharu di Sarawak bawah 1,000 untuk tiga hari berturut-turut | 
EKONOMI

Syarikat permulaan perlu tembusi pasaran besar untuk raih status unicorn

14/09/2021 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept -- Syarikat-syarikat permulaan yang mahu melebarkan sayap perniagaan dan berstatus unicorn atau bernilai lebih AS$1 bilion (AS$1=RM4.15), perlu berani menyasarkan pasaran lebih besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Pitch Platforms Sdn Bhd Shamsul Jafni Shafie berkata ini memandangkan pasaran tempatan dilihat sebagai agak kecil untuk membolehkan syarikat terbabit mencapai status unicorn tersebut dan mereka perlu sekurang-kurangnya mengembangkan perniagaan ke pasaran ASEAN.

Malah, aspek kemampuan pengembangan perniagaan itu adalah perkara yang sentiasa dititikberatkan oleh platform pendanaan awam ekuiti dalam usaha pelaburan syarikat berkaitan.

“Namun, kita juga berharap apabila mereka dapat berkembang di luar Malaysia sekali pun, syarikat-syarikat pemula niaga ini akan terus kekal di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan panel ‘The Fund, The Tech And The Company’ (Dana, Teknologi dan Syarikat) pada Program MTDC Industry 4.0 TechWeek secara maya hari ini.

 Baru-baru ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kementerian itu menyasarkan untuk melahirkan lima syarikat pemula niaga berstatus unicorn dalam tempoh lima tahun akan datang dan menggesa usahawan terbabit untuk memanfaatkan dana disediakan oleh Malaysia Venture Capital Management Bhd.

Setakat ini, hanya satu syarikat pemula niaga tempatan berstatus unicorn iaitu Carsome dan menjadi syarikat pertama Malaysia dengan taraf itu selepas mengambil alih kepentingan dalam iCar Asia Ltd dan kini bernilai lebih US$1.3 bilion.

Mengulas selanjutnya, Shamsul Jafni berkata pelabur juga lebih berminat untuk menyaksikan lebih banyak inovasi dalam sektor teknologi makanan seperti teknologi agrimakanan berikutan minat orang ramai yang ketara terhadap kaedah pengeluaran makanan.

“Oleh itu, selain aspek jaminan makanan, satu lagi potensi yang kita lihat adalah teknologi dron.

“Bagi saya, semakin pesat perkembangan agrimakanan, maka kita juga perlukan teknologi dron untuk turut menampung dan memudahkan perniagaan berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan