EKONOMI

SERBA DINAMIK BERKERJASAMA DENGAN KSTI BAGI KEMUDAHAN INTERNET DI SABAH

22/09/2021 07:25 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept -- Syarikat penyedia capaian internet melalui teknologi satelit tempatan, Serba Dinamik Group Bhd (Serba Dinamik) telah membuat pemasangan ‘Proof of Concept’ (POC) (proses rintis) bagi capaian satelit internet Very Small Aperture Terminal (VSAT) di Kampung Betutai, Tuaran, Sabah.

Serba Dinamik dalam satu kenyataan hari ini berkata teknologi itu membolehkan masyarakat yang tidak mendapat liputan jalur lebar dapat mengakses maklumat dengan lebih cepat dan mudah.

Projek itu adalah kerjasama strategik antara Serba Dinamik dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), katanya.

“Menerusi kemudahan seperti ini di beberapa kawasan tumpuan komuniti seperti di Surau Hidayyah, Kampung Betutai, Tuaran, masyarakat dapat menikmati data internet melalui kemudahan WiFi secara percuma dalam tempoh percubaan sekurang-kurangnya dua bulan.

“Fasa ujian teknikal turut disokong oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Jabatan Ketua Menteri dan syarikat tempatan Bumi Bakti Gemilang Sdn Bhd dalam memberikan latihan dan program kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai teknologi angkasa dalam urusan komunikasi,” katanya.

Menurut Serba Dinamik, pemasangan perkakasan VSAT Satelit yang ringkas dan fleksibel itu secara tidak langsung dapat mewujudkan peluang bagi meningkatkan kemahiran bakat tempatan dalam industri satelit tanah air.

Ia adalah selaras dengan hasrat KSTI, kerajaan negeri Sabah, Serba Dinamik dan Bumi Bakti Gemilang dalam menyediakan kemudahan infrastruktur dan transformasi digital untuk rakyat Sabah, katanya.

Syarikat itu berkata selepas pengujian itu selesai dilaksanakan, pihak kedua-dua syarikat bakal mengumumkan pelan data WiFi yang berpatutan bagi masyarakat tempatan dengan pengenalan produk VSAT Internet SurFiBah!.

“Pihak syarikat akan menyediakan pelan mudah bagi agen jualan kupon data internet secara berperingkat dan akan bekerjasama dengan agensi tempatan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan UPPM bagi mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk mendapat capaian Satelit Internet bagi fasa selanjutnya,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan