EKONOMI

MIDA LATIH 500 GRADUAN DI BAWAH PROGRAM HYTALENT UNTUK KEPERLUAN INDUSTRI

08/10/2021 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mensasarkan untuk melatih 500 graduan di bawah Program HyTalent Pusat Pembangunan Penilaian MIDA (MADC) dalam bidang Internet Pelbagai Perkara (IOT) dan Internet Pelbagai Perkara Perindustrian (IIOT).

Ketua Pegawai Eksekutif Arham Abdul Rahman berkata program ini merangkumi program perintis langsung selama enam bulan yang digabungkan dengan tempoh amali selama enam bulan untuk membangunkan graduan dalam kepemimpinan berstruktur serta latihan teknikal bagi memenuhi keperluan industri-industri Malaysia.

"MADC adalah kerjasama tiga hala antara MIDA, universiti dan syarikat terutama firma pelaburan langsung asing yang akan mengumpulkan kekuatan dan memanfaatkan kekayaan kepakaran industri, mempersiapkan universiti, pendidikan termasuk latihan teknikal serta vokasional (TVET) dengan kemahiran dan keperluan Industri 4.0.

“Apabila kami menarik pelaburan, kami sudah pun tahu keperluan industri. Kami yakin sepenuhnya bahawa 500 pelatih yang berada di bawah MADC, pada akhir program, akan diambil bekerja oleh peserta industri yang mengambil bahagian,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian dengan tiga universiti tempatan di sini hari ini.

MIDA memeterai memorandum perjanjian (MOA) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk pelaksanaan Program MADC HyTalent sambil disaksikan oleh Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Arham berkata program perintis MADC, yang akan bermula Januari tahun depan, dibuka untuk semua graduan universiti yang akan dinilai pada kecenderungan tingkah laku, kemahiran komunikasi, minat dan tahap keyakinan selain pencapaian akademik mereka.

“Program ini bukan eksklusif untuk ketiga-tiga universiti ini sahaja. Melangkah ke hadapan, selepas kejayaan program perintis ini, kami akan membuka program ini kepada semua universiti awam dan swasta lain kerana terdapat banyak keperluan daripada pelabur asing bagi jurutera yang berbakat," katanya.

Arham ketika memetik laporan McKinsey menyatakan teknologi Al berpotensi mewujudkan enam juta pekerjaan baharu menjelang 2030 di Malaysia memandangkan kemahiran baharu menerima permintaan yang amat tinggi.

MADC akan terus memberikan sokongan yang diperlukan kepada industri pelaburan berteknologi canggih, berasaskan pengetahuan dan berintensifkan modal untuk menghasilkan impak berganda dalam ekonomi negara, termasuk peluang pekerjaan bernilai tinggi.

"Secara keseluruhan, tujuannya adalah untuk melonjakkan kecekapan serta daya saing global negara dalam ke arah menobatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan," tambahnya.

Sementara itu, Mohamed Azmin dalam satu kenyataan memberitahu program MADC ini menerapkan peta laluan Rancangan Malaysia ke-12 untuk mengembangkan dan melengkapkan bakat masa depan dengan set kemahiran Revolusi Industri Keempat (4IR), yang amat penting bagi menjejaki perubahan pesat dalam kemajuan teknologi dan memenuhi tuntutan industri.

"Ini membuktikan usaha kerajaan yang berterusan untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi bagi memastikan rakyat Malaysia memperoleh keuntungan jangka panjang daripada pelaburan di negara ini, seiring dengan peningkatan ekosistem industri secara keseluruhan dalam ke arah mendorong pertumbuhan ekonomi yang berterusan di jalan menuju pemulihan COVID-19,” katanya.

Program ini mendapat kelulusan di bawah Dana COVID-19 khas (2021-2022) oleh kerajaan untuk merangsang ekonomi Malaysia yang terjejas oleh pandemik, dengan penekanan bagi menangani masalah pengangguran.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan