EKONOMI

MTDC KOMITED PERKUKUH JARINGAN PERNIAGAAN PMKS MELALUI EKSPO 2020 DUBAI

13/10/2021 11:24 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 13 Okt -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) komited mengukuhkan jaringan perniagaan syarikat tempatan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke pasaran antarabangsa melalui Ekspo 2020 Dubai.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Norhalim Yunus berkata ia adalah salah satu usaha agensi tersebut mengenal pasti syarikat-syarikat tempatan dalam menghubungkan perniagaan mereka dengan pemain industri global.

Jaringan perniagaan menerusi padanan perniagaan dan perkongsian maklumat yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) di Ekspo 2020 Dubai baru-baru ini adalah perjanjian perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) bagi syarikat di bawah kelolaan MTDC dan pelanggan berpotensi di sana.

“Kerjasama yang dimeterai (MoU) ini adalah hasil daripada jaringan perniagaan yang kita bina sejak MTDC beroperasi selama 29 tahun bermula 1992.

“Kita sentiasa berhubung dan menjalin kerjasama dengan syarikat PMKS dalam usaha mereka untuk mendapatkan pelanggan berpotensi," katanya kepada Bernama.

Norhalim menambah antara syarikat yang memanfaatkan kemudahan yang disediakan MTDC ialah Euro-Circuit Technology Sdn Bhd yang mengetengahkan teknologi rawatan minyak berasaskan air boleh terbiodegradasi -- Bio-Solv®.

Syarikat berkenaan menerima dana sebanyak RM4.3 juta daripada Dana Permulaan Perniagaan (BSF), untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan di pasaran Malaysia serta antarabangsa.

“Syarikat ini adalah salah satu contoh yang dibantu oleh MTDC dalam membangunkan usahawan bermula daripada kegiatan penyelidikan akademi dan seterusnya membawa teknologi tersebut menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Bagi pengasas dan pengarah urusan Euro-Circuit Technology Sdn Bhd Noor Hisham Ab Hamid, dana yang disalurkan MTDC sejak 2016 telah meletakkan syarikat itu di posisi strategik dan membantu mengukuhkan perniagaannya di peringkat antarabangsa.

Inovasi pengasingan minyak berteraskan teknologi hijau itu menarik minat bukan sahaja pemain industri minyak dan gas tempatan, malah juga beberapa negara pengeluar minyak dan gas yang lain, katanya.

Bio-Solv®. -- produk teknologi rawatan minyak berasaskan air boleh terbiodegradasi yang dihasilkan Euro-Circuit Technology merupakan antara inovasi yang dipamerkan Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai.

“Ekspo 2020 Dubai merupakan penyertaan pertama kami. Sebelum ini kami hanya berhubung terus dengan rakan kongsi di luar negara yang berminat dengan teknologi yang dipasarkan. Mereka bersetuju untuk menjalin kerjasama bersama,” kata Noor Hisham.

Euro-Circuit Technology telah menandatangani MoU bersama Modern Arab Laboratories LLc bagi membekalkan produk Bio-Solv®. kepada semua industri minyak dan gas, penjanaan kuasa, pihak berkuasa perkapalan dan pelabuhan.

Selain itu, syarikat itu turut menandatangani MoU dengan Bardwil Specialities Qatar Wll dan Al Ghad Al Zahir for Oilfield Ltd bagi pembekalan Bio-Solv®. untuk industri minyak dan gas di Kuwait serta Iraq.

Produk Bio-Solv®. dipamerkan di Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai, sejajar dengan motto ‘Energizing Sustainability’ untuk menyampaikan visi lestari Malaysia.

Penyertaan MTDC pada minggu ke-2 diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan