BERITA COVID–19   COVID: Malaysia rekod kes pertama Omicron, libatkan pelajar dari Afrika Selatan | COVID-19: Britain catat kes baharu tertinggi sejak pertengahan Julai | NUTP bantah saringan COVID di sekolah, cadang uji di rumah | Enam pelajar MRSM Sultan Azlan Shah disah positif COVID-19 | COVID: Lebih 70 peratus kes kematian di Terengganu individu tidak pernah divaksin | 
EKONOMI

BASF Petronas Chemicals akan tingkatkan pengeluaran 2-EHA di Kuantan

18/10/2021 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt  -- BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd (BPC), iaitu usaha sama berpangkalan di Malaysia antara BASF Jerman dan PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) bercadang meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan Asid 2-Ethylhexanoic (2-EHA) di kawasan Verbund yang terletak di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

Sehubungan itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Eropah, menyambut baik projek dan rancangan pengembangan BPC di Malaysia.

“Kerajaan, melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus menawarkan bantuan yang diperlukan kepada syarikat itu untuk merealisasikan rancangan masa depan mereka, memperkukuh komitmen kita untuk menarik dan mengekalkan kualiti pelaburan di negara ini,” katanya dalam kenyataan Jumaat.

Menurut kenyataan itu, rancangan untuk meningkatkan pengeluaran adalah antara perkara penting yang dibincangkan dalam mesyuarat di antara BASF yang diwakili Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif BASF SE Dr Markus Kamiet dengan menteri kanan itu pada 13 Okt 2021.

Selain daripada kawasan pengeluarannya di Kuantan, BASF turut mengeluarkan 2-EHA di kawasan Verbund di Ludwigshafen, Jerman. BPC berhasrat untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan 2-EHA daripada 30,000 kepada 60,000 tan metrik menjelang 2024.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG Datuk Sazali Hamzah berkata 2-EHA merupakan bahagian penting dalam pertumbuhan BPC dan pengembangan itu tepat pada masanya yang bertujuan memenuhi keperluan pasaran yang kian meningkat.

“Pengembangan itu juga seiring dengan strategi pertumbuhan mampan PCG untuk memperluas portfolio dengan produk-produk bernilai tinggi.

“Malah, dengan memanfaatkan penyepaduan sedia ada antara BPC dan kemudahan lain PCG di kawasan Verbund di Kuantan, kami dapat memaksimumkan rantaian nilai dengan mempertingkat kualiti serta kecekapan daya saing produk serta terus menawarkan penyelesaian inoivatif untuk para pelanggan kami,” katanya.

Bahan 2-EHA yang berperanan sebagai bahan kimia perantara, digunakan sebagai sebatian dalam penghasilan pelincir sintetik selain menjadi bahan tambahan minyak.

Ia turut digunakan dalam cecair dengan fungsi tertentu seperti bendalir penyejuk automotif, garam logam bagi mengeringkan cat, penstabil, pemangkin serta penggunaan lain dalam pelbagai industri.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan