EKONOMI

MATRADE ANJUR MISI PERTINGKAT EKSPORT INDUSTRI REL KE FILIPINA SECARA MAYA

18/10/2021 09:03 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt  -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan Misi Peningkatan Eksport (EAM) industri rel ke Filipina secara maya selama dua hari bermula 20 Oktober ini.

Dalam kenyataan pada Isnin, MATRADE berkata misi tersebut disertai oleh 12 syarikat Malaysia bagi mempromosi produk serta perkhidmatan masing-masing yang mewakili pelbagai subsektor industri rel seperti pengangkutan, isyarat dan telekomunikasi, elektrifikasi tenaga, kerja-kerja landasan serta pendidikan.

“Biarpun masih dalam persekitaran pandemik COVID-19, penyertaan syarikat-syarikat Malaysia dalam program itu jelas membuktikan keazaman dan keyakinan tinggi mereka untuk terus meninjau peluang perniagaan dengan rakan lain di Filipina serta memperkukuh hubungan perniagaan sedia ada,” katanya.

Eksport produk utama rel Malaysia ke Filipina bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 meliputi lekapan dan kelengkapan rel yang bernilai RM867,140.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Peningkatan Eksport) Sharimahton Mat Saleh berkata MATRADE akan terus membantu syarikat-syarikat tempatan untuk mengharungi impak pandemik COVID-19 dengan menyediakan platform digital untuk berkongsi kepakaran, kemampuan dan kapasiti bagi menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan secara meluas ke pasaran global.

Malah, beliau menyifatkan sektor rel Malaysia telah mencatat kemajuan secara teknologi dan moden serta setanding dengan negara-negara lain seperti United Kingdom, Singapura, Emiriah Arab Bersatu dan China.

“Pembuatan siri gerabak atau lokomotif hijau baharu baru-baru ini yang dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 75 peratus, telah membuktikan bahawa sektor rel Malaysia sememangnya komited untuk membangunkan sistem pengangkutan kereta api yang jimat kos, mesra alam sekitar dan selamat,” katanya.

Menurut MATRADE, produk eksport utama rel Malaysia pada 2020 adalah komponen kenderaan pengangkutan rel bernilai RM21.4 juta serta peranti isyarat bagi landasan yang bernilai RM20.2 juta.

Destinasi utama eksport pula adalah Amerika Syarikat (AS) yang bernilai RM11.3 juta dan seterusnya China (RM7.7 juta), Singapura (RM4.6 juta), Vietnam (RM4.5 juta) dan Australia (RM3.5 juta).

Selain itu, import utama produk rel pada tahun lepas disumbangkan oleh komponen pengangkutan rel bernilai RM185.4 juta, pengangkutan rel pecutan sendiri (RM116.4 juta) dan gerabak penumpang dan tujuan khas (RM74.4 juta).

Menurut MATRADE, sumber utama import bagi produk rel Malaysia pada 2020 adalah Korea Selatan yang bernilai RM168.3 juta, Kanada (RM115.4 juta), China (RM53.1 juta), Jerman (RM38.6 juta) dan AS (RM26.7 juta).

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan