DUNIA

MATRADE BANTU 10 SYARIKAT MALAYSIA PERLUASKAN OPERASI DI THAILAND

25/10/2021 07:27 PM

BANGKOK, 25 Okt -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah membawa 10 syarikat Malaysia ke Misi Peningkatan Eksport (EAM) secara maya meningkatkan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia di Thailand.

MATRADE dalam satu kenyataan berkata EAM selama tiga hari mulai esok itu akan menyediakan platform rangkaian serta membina perkongsian perniagaan antara komuniti perniagaan Malaysia dan Thailand.

“Sebanyak 10 syarikat Malaysia di bawah MATRADE daripada sektor seperti makanan & minuman, penjagaan kesihatan, penjagaan kulit dan penyelesaian perniagaan Teknologi Maklumat (IT) akan mengambil bahagian dalam misi itu,” katanya.

EAM adalah inisiatif oleh MATRADE untuk menghubungkan syarikat Malaysia dengan rakan kongsi asing serta mendorong mereka untuk meneroka peluang perdagangan di luar negara.

Dalam misi itu, MATRADE melalui pejabatnya di Bangkok akan menyelaraskan mesyuarat perniagaan maya dengan pengimport dan pembeli terkemuka.

Sebagai pelengkap, program yang telah diatur untuk syarikat Malaysia turut termasuk memberi taklimat mengenai peluang eksport di Thailand oleh pesuruhjaya perdagangan MATRADE di Bangkok dan pihak berkuasa yang berkaitan.

Program yang dirancang sepanjang misi tersebut merangkumi pertemuan perniagaan maya, taklimat mengenai ‘Doing Business di Thailand’ (Menjalankan Perniagaan di Thailand) serta peraturan, undang-undang serta cara mendaftarkan produk di Thailand.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Norman Dzulkarnain Nasri berkata Malaysia dan Thailand dapat saling melengkapi antara satu sama lain dalam hal perdagangannya terutama dalam perjanjian perdagangan dan perdagangan sempadan.

"Produk berpotensi yang dapat diterokai oleh syarikat Malaysia di Thailand adalah barang pengguna yang bergerak pantas (FMCG), produk halal, makanan diproses, produk kesihatan, produk perubatan, produk berkaitan perubatan, farmasi, produk gaya hidup, komponen elektronik, alat ganti automotif dan banyak,” katanya.

Norman berkata Thailand adalah rakan dagang kelapan terbesar Malaysia.

Pada 2020, beliau berkata jumlah perdagangan antara Malaysia dan Thailand berjumlah US$19 bilion (US$1 = RM4.15) dengan produk dagangan teratas ialah produk elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia, peralatan pengangkutan, petroleum mentah dan jentera dan peralatan.

Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok menggalakkan syarikat Thailand dan Malaysia memanfaatkan pejabat MATRADE di negara itu.

Komuniti perniagaan Thailand boleh menghubungi MATRADE Bangkok untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program atau sebarang pertanyaan lain berkaitan dengan produk dan perkhidmatan Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan