AM

TAHAP PURATA AKRILAMIDA BISKUT TEMPATAN BAWAH PARAS DITETAPKAN EU - KP KESIHATAN

27/10/2021 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt -- Pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) bagi produk biskut di pasaran tempatan sejak 2015 mendapati tahap purata akrilamida adalah di bawah paras yang ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Suruhanjaya Eropah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk itu mencatat 246 μg/kg (mikrogram bagi setiap kilogram) iaitu di bawah paras 350 μg/kg seperti yang ditetapkan oleh badan tersebut.

"Jenama biskut yang dipantau oleh KKM termasuk Hup Seng, Jacobs dan Julie’s yang dikilangkan di Malaysia dan didakwa mengandungi akrilamida dan glisidol, bahan karsinogen yang boleh memberi risiko kepada kesihatan. 

“BKKM turut menjalankan penilaian risiko ke atas akrilamida dan glisidol dalam makanan dan ia menunjukkan risiko kesihatan terhadap kedua-duanya melalui pengambilan biskut adalah rendah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata pengguna boleh mendapatkan panduan pencemaran akrilamida di dalam makanan daripada Facebook rasmi BKKM.

Dr Noor Hisham berkata pengguna juga boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau akaun Facebook  www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat isu berkaitan keselamatan makanan.

Beliau berkata KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Isu pencemaran akrilamida dan glisidol dalam produk konfeksi tular di laman sosial susulan laporan oleh Majalah CHOICE di laman sesawang Majlis Pengguna Hong Kong berkaitan 60 jenama produk konfeksi tepung termasuk biskut yang dijual di pasaran negara itu dan didakwa mengandungi kedua-dua bahan.

 Antara jenama disenaraikan ialah Hup Seng, Jacobs dan Julie’s yang dikilangkan di Malaysia.

Menurut Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan mengenai Kanser (IARC), akrilamida dan glisidol merupakan bahan karsinogen dan boleh memberi risiko kepada kesihatan manusia. 

Akrilamida adalah bahan pencemaran yang boleh terhasil semasa pemprosesan atau penyediaan makanan namun bahan pencemaran itu boleh dikawal melalui pemilihan bahan mentah dan proses yang bersesuaian.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan