EKONOMI

SERBA DINAMIK TIDAK DAPAT KELUARKAN LAPORAN TAHUNAN PADA 30 NOV

25/11/2021 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) berkata ia tidak dapat mengeluarkan Laporan Tahunan 2021 untuk tempoh kewangan berakhir 30 Jun, 2021 pada tarikh akhir ditetapkan iaitu 30 Nov, 2021 yang diberikan oleh Bursa Malaysia Securities Bhd untuk lanjutan masa pertama (EOT).

Ini memandangkan pertukaran juruaudit luar dan kesan akibat sekatan pergerakan di Malaysia dan luar negara susulan daripada pandemik COVID-19 dan audit penyata kewangan bagi tempoh kewangan (AFS 2021) terjejas serta tidak boleh dimuktamadkan kerana kesuntukan masa untuk dimasukkan ke dalam Laporan Tahunan, kata SDHB.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SDHB berkata berdasarkan piawaian perakaunan dan pengauditan yang diluluskan, syarikat itu berpendapat juruaudit perlu diberi masa yang mencukupi untuk melaksanakan kewajipan berkanun mereka tanpa gangguan serta kekangan masa untuk memastikan kerja audit dapat dijalankan dengan berkesan dan lengkap.

“Sehubungan itu, pada 23 Nov, 2021, kami telah meminta EOT dilanjutkan sehingga 31 Dis 2021 untuk mengeluarkan Laporan Tahunan 2021. Bagaimanapun, Bursa Securities menerusi suratnya bertarikh 24 Nov, 2021 telah menolak permohonan EOT tambahan tersebut.

"Syarikat itu akan mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities berhubung dengan EOT tambahan yang dipohon dalam masa terdekat dan pengumuman ini tertakluk kepada kelulusan rayuan itu," katanya.

SDHB juga menyatakan bahawa dagangan dalam sekuritinya telah digantung sejak 22 Okt, 2021 dan ia kini bekerjasama dengan juruaudit luarnya untuk mempercepatkan proses AFS 2021 dan mengeluarkan Laporan Tahunan 2021 secepat mungkin sebelum akhir bulan Disember tahun 2021.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan