EKONOMI

BRIDGE DATA TUBUH KAMPUS PUSAT DATA SKALA HIPER DI MALAYSIA

02/12/2021 10:58 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis -- Bridge Data Centres (BDC) yang berpangkalan di Singapura telah mengumumkan pembinaan kampus pusat data skala hiper keempatnya (MY06) di Johor yang akan melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM2.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam satu kenyataan, anak syarikat Chindata Group itu berkata syarikat itu telah menetapkan Fasa 1 projek itu akan dilaksanakan menjelang akhir tahun 2022 dengan Fasa 2 dijangka siap tidak lama lagi.

Ia berkata strategi pembangunan BDC bertujuan untuk menghubungkan semua pusat data Kumpulan Chindata menggunakan sambungan gentian optik, menghubungkan dengan Stesen Pendaratan Kabel Malaysia untuk meningkatkan capaian sambungan global.

Kampus skala hiper yang berkeluasan 16.19 hektar itu akan beroperasi pada kapasiti gabungan 100 MW IT di kawasan Kidex Sedenak di Lembah Teknologi Sedenak.

Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata ruang pusat data itu adalah penting daripada segi ekonomi kepada transformasi Malaysia ke arah negara digital termaju, membuka jalan kepada perniagaan moden.

"Program Digital First dengan matlamat meningkatkan penggunaan pengkomputeran awan dalam sektor awam yang diumumkan sebagai sebahagian daripada Bajet 2022, menunjukkan keperluan pusat data sebagai kunci kepada transformasi digital," katanya.

Komitmen BDC adalah bukti kukuh dan keyakinan terhadap kedudukan negara untuk menjadi hab pusat data serantau, katanya.

Selain itu, Arham berkata MIDA dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui Pejabat Pelaburan Digital akan meneruskan usahanya dalam melakukan transformasi dalam kluster ekonomi baharu dan sedia ada sebagai pemboleh digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menggalakkan peningkatan kemahiran digital tenaga kerja dan perniagaan tempatan.

Seiring dengan aspirasi kerajaan di seluruh negara untuk mencapai 50 peratus penggunaan awan melalui pusat data awan untuk penggunaan 5G menjelang tahun 2024, BDC komited untuk melabur dalam ekonomi pusat data yang sedang berkembang yang dijangka berkembang dengan ketara di rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan