EKONOMI

MATRADE RANGKA 286 PROGRAM PEMBANGUNAN PENGEKSPORT, PENGGALAKAN EKSPORT BAGI 2022

21/01/2022 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merangka 286 program pembangunan pengeksport dan penggalakan eksport bagi 2022 dalam usahanya melonjakkan eksport negara.

Menurutnya, semua program itu adalah berdasarkan hala tuju strategik yang digariskan Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp), dengan lebih menekankan pendigitalan dan kemampanan.

“MATRADE telah merangka program penggalakan eksport yang terdiri daripada Pameran Perdagangan, Misi Pecutan Eksport (EAM) dan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) bersempena dengan acara perdagangan antarabangsa utama.

“MATRADE juga akan terus mempergiat program eBizMatch, platform pertemuan perniagaan secara dalam talian antara syarikat Malaysia dan pembeli asing dari seluruh dunia yang diatur lebih awal,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Perbadanan itu menambah, sektor strategik, terutama elektrik dan elektronik; aeroangkasa; perubatan; minyak dan gas; bahan binaan; makanan dan minuman; produk dan perkhidmatan hijau; perkhidmatan lain, termasuk teknologi maklumat dan komunikasi; penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; logistik dan perkhidmatan profesional akan dipromosikan.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata syarikat Malaysia yang ingin mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara perlu bersedia, dan digalakkan melibatkan diri dengan MATRADE untuk pelbagai program sokongan dan penggalakan yang boleh mereka manfaatkan.

Sementara itu, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi ke-18 akan dianjurkan secara format hibrid pada September 2022, menarik peserta halal global untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pameran perdagangan halal terbesar dunia.

MATRADE menyokong syarikat-syarikat Malaysia dengan menyediakan kemudahan dan bantuan untuk menjadi juara global melalui pelbagai program pembangunan pengeksport.

“Ini meliputi aktiviti bimbingan pengeksport yang penting, dalam bidang seperti akses pasaran, garis panduan perdagangan, pembiayaan dan penjenamaan, inisiatif pendigitalan dan kemampanan,” jelasnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan