KOTA KINABALU, 4 Mac -- Projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) di sini yang bernilai hampir RM1 billion mampu menjana sembilan inisiatif Program Kolaborasi Industri (ICP) yang akan memberi manfaat kepada Sabah dan rakyat secara amnya.
Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata inisiatif ICP itu melibatkan syarikat tempatan antara lainnya bagi skop kerja sub-kontrak termasuk kerja pembinaan maritim yang dianggarkan bernilai RM253.89 juta dan pembangunan keupayaan berkaitan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).
Menurutnya, inisiatif itu juga melibatkan penerimagunaan teknologi Sistem Penuaian Air Hujan, pembangunan pengetahuan sektor maritim dan pelaksanaan empat kursus teknikal bidang elektrikal, pentauliahan jurutera profesional, pengurusan operasi dan keselamatan serta kesihatan pekerjaan.
Yamani Hafez berkata antara penerima manfaat daripada inisiatif ICP projek tersebut ialah Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Jabatan Kerja Raya Sabah, Sabah Port Sdn Bhd dan Universiti Malaysia Sabah.
"Pelaksanaan ICP akan memasuki era baharu dalam memacu pemulihan ekonomi yang terkesan pada masa ini seterusnya meningkatkan daya saing dan daya tahan industri tempatan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
"Dasar dan semangat pelaksanaan ICP ini bermatlamat untuk memberi manfaat kepada industri, institusi dan syarikat tempatan atau erti kata lain "no one will be left out" (tidak ada orang yang akan tercicir)," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak utama dan perjanjian ICP SBCP, di sini, hari ini.
Kontrak dan perjanjian itu ditandatangani Ketua Eksekutif SEDIA Datuk Hashim Paijan, Pengurus Projek WCT Holding Bhd Mohd Roslan Sarip dan Pengurus Projek China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd (CCCC) Du Jingquan.
SEDIA adalah pemilik projek SBCP manakala WCT Holding Bhd dan CCCC merupakan kontraktor utama projek tersebut.
Inisiatif ICP bagi projek itu diuruskan Technology Depository Agency (TDA), agensi di bawah Kementerian Kewangan yang juga pihak berkuasa ICP.
SBCP merupakan pelabuhan kontena di kawasan Sepanggar di sini yang terletak 25 kilometer ke utara dari Kota Kinabalu.
Sementara itu, Hashim berkata projek pembesaran SBCP tersebut bermula pada 1 Sept, 2021 dan dijangka siap pada 28 Feb, 2025.
Beliau berkata apabila siap kelak, kapasiti SBCP akan ditingkatkan daripada 500,000 Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki (TEU) setahun ketika ini kepada 1.25 juta TEU setahun.
"SEDIA berbangga terhadap pencapaian projek SBCP di mana jumlah nilai kredit ICP setakat ini telah mencapai RM493 juta. Ini menunjukkan program ICP bagi projek SBCP telah berjaya mencapai 54.8 peratus nilai kredit ICP yang merangkumi sembilan inisitaif ICP itu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial