EKONOMI

KERJASAMA MTDC-MDEC AKAN PERKUKUH EKOSISTEM EKONOMI DIGITAL NEGARA

11/04/2022 03:22 PM

CYBERJAYA, 11 April (Bernama) -- Kepakaran syarikat-syarikat teknologi di bawah Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) kini digabungkan untuk membentuk ekosistem digital yang kukuh serta memberi impak berkesan kepada sektor lain.

Sinergi dua peneraju ekonomi digital di Malaysia itu dimeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) di sini pada Isnin, dengan hasrat membantu merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Mengikut MoU itu, MTDC dan MDEC akan membangunkan program pembangunan usahawan berasaskan teknologi secara bersama serta mempromosikan teknologi digital dan penerimagunaannya dalam kalangan syarikat pemula niaga serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata MoU itu akan menjadi platform bagi ‘MTDC Centre of 9 Pillars’ (Co9P) untuk bekerjasama dengan syarikat dan rakan kongsi di bawah MDEC yang bertujuan membantu syarikat berkaitan Revolusi Perindustrian 4.0 dan digital.

Beliau berkata MTDC telah membantu lebih 200 syarikat dalam mengembangkan potensi masing-masing justeru, usaha sama terkini dengan MDEC akan membolehkan pihaknya memberi penekanan khusus kepada pembiayaan dan bimbingan kepada syarikat teknologi yang terlibat.

Co9P meliputi robot autonomi, simulasi, sistem integrasi, Internet Pelbagai Benda, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan tambahan, data raya dan realiti terimbuh.

“Di bawah Co9P, MTDC mewujudkan beberapa program berbentuk khidmat nasihat dan perkhidmatan nilai tambah. Kita juga ada kumpulan khas yang bantu untuk menjalankan program pemasaran mereka (syarikat teknologi),” katanya di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani MoU itu bagi pihak MTDC manakala MDEC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Mahadhir Aziz.

Sementara itu, Mahadhir berkata sinergi MDEC dan MTDC yang dibentuk menerusi MoU itu akan merintis lebih banyak peluang untuk melahirkan lebih banyak syarikat teknologi tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.

Beliau berkata pembangunan ekosistem ekonomi digital amat penting bagi memastikan Malaysia memiliki elemen yang diperlukan untuk mencapai kejayaan.

“Apabila memiliki ekosistem yang mantap, Malaysia akan menjadi tarikan utama pelabur-pelabur dari luar negara untuk melabur di negara ini, selain melakukan kerjasama dengan syarikat tempatan,” katanya.

Menerusi RMK12, ekonomi digital dijangka menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan