Oleh Mohamad Syazwan Mustafa
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Penghayatan dan kesedaran politik dalam kalangan belia boleh dipupuk serta diperkukuh melalui pelbagai pendekatan termasuk penglibatan aktif mereka dalam aktiviti kemasyarakatan.
Pengerusi Kelab Belia Prihatin Malaysia Luqman Hakim Md Zim berkata ini kerana aktiviti seperti itu merupakan wadah ‘pendidikan politik’ tidak langsung yang akan mendedahkan dan mematangkan belia dalam memahami dan berpartisipasi dalam arena politik negara.
“Akar pendidikan politik adalah komunikasi dan interaksi bersama masyarakat serta komuniti setempat sama ada melalui platform persendirian ataupun pertubuhan. Aktiviti dan program secara kecil ini pastinya membantu belia memahami kehendak dan keperluan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Luqman berkata selain pembabitan aktif belia dalam aktiviti kemasyarakatan, peluang ‘pendidikan politik’ untuk golongan itu juga terbuka luas melalui pelbagai inisiatif dan program anjuran agensi-agensi dan jabatan kerajaan.
Bagaimanapun katanya eksklusiviti bagi pengambilan belia untuk pelbagai program atau inisiatif berkenaan seperti pertukaran pelajar dan belia antarabangsa perlu dielakkan bagi membolehkan peluang itu dapat dirasai oleh golongan belia secara menyeluruh.
“Sediakan dan buka lebih peluang kepada anak muda di setiap peringkat, kurangkan esklusiviti kepada pihak-pihak tertentu sahaja dalam memastikan manfaat dan insiaitif yang disediakan benar-benar sampai kepada anak muda sama ada mereka yang tinggal di kawasan kampung seperti Gua Musang dan Baling ataupun belia bandar di Titiwangsa atau Ipoh,” katanya.
Selain itu, Luqman berkata peluang latihan di Majlis Daerah atau pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemberian geran aktiviti di peringkat akar umbi juga penting untuk perluaskan kerana ia bersesuaian dengan minat anak muda.
“Langkah ini juga bakal dilihat sebagai usaha serius kerajaan dalam menghargai sumbangan belia di dalam arena politik setempat. Kuncinya adalah pada kesedaran belia kerana mereka sendiri yang akan membawa perubahan itu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Muda Malaysia Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata penglibatan anak muda dalam landskap politik akan memberikan perspektif baharu kepada dinamik politik tanah air.
“Penglibatan politik bukan bererti penyertaan dalam mana-mana parti politik semata-mata tetapi ia merangkumi segala aspek berkaitan usaha pencerahan dan pencerdasan politik. Usaha meningkatkan kematangan dan pengetahuan pengundi muda ke arah menjadi pengundi yang bertanggungjawab juga antara yang boleh dilaksanakan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penglibatan anak muda yang dilihat semakin meningkat dalam arena politik negara merupakan petanda positif serta perlu dikembangkan dengan lebih meluas.
Ismail Sabri juga berharap agar belia lebih celik dan cakna tentang sistem demokrasi berparlimen sekali gus menghayati peranan mereka sebagai pengundi muda khususnya dengan pelaksanaan Undi-18 kerana ia dapat meningkatkan jati diri menjadi warganegara bertanggungjawab menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial