EKONOMI

PERSIDANGAN KEBANGSAAN SSM BERI TUMPUAN KEPADA TADBIR URUS KORPORAT, KEMAMPANAN

07/06/2022 03:28 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ke-11 (SSMNC) akan dianjurkan secara maya pada 26 dan 27 Julai ini, bertemakan “Corporate Governance and Sustainability, Needed Now More Than Ever.”

Persidangan tahunan itu yang dijangka menarik penyertaan lebih 2,000 delegasi tahun ini, berhasrat memperkukuh tadbir urus korporat dan kemampanan dalam mencapai nilai jangka panjang, serta pertumbuhan perniagaan yang lestari.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata pandemik COVID-19 telah memacu konsep kemampanan di peringkat global dan semakin menjadi keutamaan syarikat pada masa ini untuk membina strategi perniagaan berkesan yang dilingkungi kemampanan. 

“Berdasarkan peningkatan trend dan jangkaan, perniagaan perlu memberi perhatian khusus kepada keputusan perniagaan mereka dan kesannya kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat.

“Mereka perlu mengamalkan langkah pengawasan yang baik bagi memastikan model perniagaan mereka boleh disesuaikan, berdaya tahan dan inovatif melebihi keuntungan jangka pendek. Seruan yang lantang untuk mengukuhkan tadbir urus korporat demi kemampanan, kini lebih diperlukan berbanding sebelum ini dan tema SSMNC adalah bersesuaian dengan tujuan ini,” katanya kepada Bernama.

SSMNC telah menjadi lambang pendidikan kawal selia yang terunggul, wacana yang serius dan platform rangkaian kepada perniagaan dan profesional korporat untuk kekal relevan dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah.

Persidangan itu membawakan sembilan sesi pleno melibatkan 37 penceramah dan 30 pempamer maya. Antara tajuk yang akan dibentangkan dalam persidangan itu adalah Bersatu Demi Agenda Kemampanan, Landskap Kawal Selia dan Jangkaan Mengenai Tadbir Urus Kemampanan, dan Memupuk Kemampanan Dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Peserta persidangan akan turut menerima 16 Mata Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) iaitu mata yang diterima oleh profesional untuk menyertai latihan khusus. 

SSMNC dijangka menarik penyertaan para peneraju industri, ahli akademik, eksekutif kanan, setiausaha syarikat dan profesional.

Pendaftaran awal SSMNC akan dibuka sehingga 15 Jun dengan harga RM500 manakala harga standard sebanyak RM650 akan dikenakan mulai 16 Jun dan selanjutnya. Mereka yang berminat boleh mendaftar di https://e-comtrac.ssm.com.my.

Untuk maklumat lanjut, hubungi sekretariat persidangan di talian 03-2299 5200 atau emel  comtrac@ssm.com.my. Untuk peluang menyertai e-pameran, hubungi Nor Fakhira di talian 03-22994748 atau emel norfakhira@ssm.com.my.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan