AM

MTDC, SDEC LANCAR MAKMAL PROTOTAIP, DORONG PENERIMAGUNAAN IR4.0 DI SARAWAK

13/06/2022 09:59 PM

KUCHING, 13 Jun (Bernama) -- Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) hari ini melancarkan perkongsian Makmal Prototaip dengan kerjasama Sarawak Digital Economy Corporation Bhd (SDEC) untuk mendorong penerimagunaan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) di negeri itu.

Kerjasama itu bagi membangunkan kemudahan IR4.0 yang pertama seumpamanya di Sarawak, turut melibatkan rakan ekosistem MTDC iaitu Akar Indah Engineering Sdn Bhd, T-Robot Sdn Bhd dan 3D GENS Sdn Bhd. 

Pengerusi MTDC Tan Sri Abd Rahman Mamat berkata MTDC akan membantu SDEC dalam bidang seperti penerimagunaan dan pemindahan teknologi, pemindahan ilmu, pembangunan kemahiran dan kapasiti, rangkaian perniagaan, akses terhadap program utama serta pelaburan.

“Bagi melaksanakan penerimagunaan dan pemindahan teknologi, elemen terpenting bagi kami adalah eksosistem, maka, pihak berkuasa negeri dan persekutuan seperti MTDC berupaya menyumbang untuk mencipta ekosistem yang kondusif, terutamanya untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Satu perkara lagi adalah kepentingan pembangunan bakat kerana, apabila melibatkan penerimagunaan teknologi, kami memerlukan pekerja berkemahiran tinggi untuk tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Makmal Prototaip di Kampung Digital TEGAS (TDV) hari ini.

Makmal itu dilancarkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Julaihi berkata, makmal prototaip itu akan menjadi batu loncatan untuk Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Makmal prototaip berkenaan akan berperanan sebagai pusat untuk menyediakan sokongan menyeluruh bagi penerimagunaan IR4.0 yang memanfaatkan peserta industri ekosistem melalui pendedahan kepada industri, serta pakar IR4.0, teknologi dan program pembangunan bakat.

Sementara itu, Pengerusi SDEC Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata pihaknya bercadang melanjutkan kerjasama dalam ekosistem digital Sarawak untuk mempromosikan makmal prototaip itu kepada PKS dan syarikat-syarikat di negeri itu.

“Kami tidak boleh ketinggalan, itulah sebabnya kami perlu mengaktifkan semula kesemuanya melalui kerjasama dengan MTDC, justeru, membolehkan pemula niaga teknologi kami untuk bekerjasama dengan mereka dan PKS, serta melangkah pantas menuju IR4.0.

“Masa depannya amat baik kerana ekosistem ini telah sedia ada di sana dari segi sokongan kerajaan, pembangunan bakat dan teknologi yang akan dibawakan oleh rakan niaga kami, di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Pada majlis itu, SDEC turut memeterai beberapa memorandum persefahaman berhubung kerjasama dengan MTDC dan rakan ekosistemnya sempena pelancaran makmal prototaip tersebut.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan