EKONOMI

MIFF BANTU PACU MOMENTUM PERTUMBUHAN UNTUK EKSPORT PERABOT MALAYSIA

06/07/2022 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Acara perabot terbesar di Asia Tenggara, Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2022 telah bermula hari ini untuk membantu memacu momentum pertumbuhan bagi eksport perabot Malaysia dan menyokong rantaian bekalan global.

Pengasas dan Pengerusi MIFF, Datuk Dr Tan Chin Huat berkata akibat pandemik sejak dua tahun lepas, peruncit perabot global bimbang terhadap rantaian bekalan yang terganggu dan sedang mencari lebih ramai pembekal ketika ekonomi pulih dengan perlahan.

“Sebagai platform eksport perabot terbesar Malaysia, MIFF berperanan menyokong pemulihan ekonomi negara dan membantu menyampaikan mesej bahawa aktiviti ekonomi Malaysia kini kembali aktif.

“Itulah sebabnya MIFF telah memutuskan untuk memulakan pameran itu sekarang pada bulan Julai walaupun pameran kami biasanya berlangsung pada Mac setiap tahun,” katanya pada majlis pelancaran MIFF 2022 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Tan berkata acara itu dijangka menyaksikan sentimen belian didorong oleh permintaan terpendam kerana penggiat industri di seluruh dunia berada di pameran tersebut sebagai pembeli.

“Pameran itu telah mendaftarkan sebanyak 5,000 pembeli antarabangsa dari 110 negara dan rantau termasuk misi pembelian teratur dari Jepun dan Itali,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof berkata eksport perabot Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei 2022 bernilai RM6.14 bilion, meningkat 3.2 peratus berbanding RM5.96 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021.

“Negara-negara Scandinavia, Eropah, Amerika Selatan, Korea Selatan dan Asia Selatan adalah beberapa pasaran eksport baharu untuk diterokai oleh pemain industri tempatan.

"Pengilang tempatan memainkan peranan penting dalam meletakkan Malaysia sebagai pembekal perabot global. Pada masa ini, 85 peratus daripada pengeluaran perabot tahunan Malaysia dieksport ke lebih 160 negara dengan perabot kayu menjadi produk utama," katanya.

Pada majlis perasmian itu, Abu Bakar turut menyampaikan hadiah kepada pereka muda yang memenangi Pertandingan Reka Bentuk Perabot (FDC) MIFF bagi tahun 2020 dan 2021.

MIFF juga mengalu-alukan penyertaan untuk FDC 2022 dengan tema ‘Post pandemic workplaces’ (Tempat Kerja Pasca Pandemik) dengan matlamat untuk memupuk bakat reka bentuk muda untuk kemampanan industri perabot Malaysia.

MIFF 2022 berlangsung dari 6 hingga 9 Julai 2022, mempamerkan 200 peserta pameran dari 11 negara dan wilayah termasuk Malaysia, China, India, Indonesia, Itali, Gabon, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Kumpulan terbesar dijangka hadir dari luar Asia adalah dari Amerika Utara dan Oceania, diikuti oleh Afrika, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Selatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan