AM

Bashir Alias dilantik Pengerusi Perbadanan Labuan yang baharu

07/07/2022 10:05 PM

PUTRAJAYA, 7 Julai (Bernama) -- Anak kelahiran Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, Senator Datuk Bashir Alias dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Julai 2022.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Amir Hussien, yang tamat tempoh perkhidmatan pada 30 Jun lepas dan Amir kini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan untuk tempoh sama.

“Dengan pengalaman luas serta daya kepimpinan Bashir, beliau akan dapat menambah baik ekosistem ekonomi Labuan agar industri sedia ada terus berkembang dan berdaya saing," kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada majlis penyerahan surat pelantikan Bashir dan Amir di Menara Seri Wilayah di sini hari ini.

Shahidan juga percaya Amir dapat memberikan nasihat yang diperlukan kepada Perbadanan Labuan untuk memastikan ia terus menambah baik sistem penyampaian perkhidmatannya kepada rakyat sebagai sebuah kerajaan tempatan.

Pelantikan tersebut dibuat mengikut Seksyen 5 (1) (a) Akta Perbadanan Labuan 2001 (Akta 609). Perbadanan Labuan, yang merupakan penggabungan dua agensi utama iaitu Pembangunan Labuan dan Majlis Perbandaran Labuan, ditubuhkan pada 1 Julai 2001 di bawah Akta 609.

Pada majlis berasingan, Shahidan menyerahkan sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebanyak RM314,000 termasuk 52 ekor lembu bagi Program Korban Perdana sempena Hari Raya Aidiladha yang akan diagihkan kepada 13 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan