EKONOMI

MIDA SASAR LEBIH BANYAK PELABURAN BERKAITAN ESG PADA TAHUN INI

02/08/2022 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasarkan untuk meraih lebih banyak pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada tahun ini, sekali gus membantu mencapai jumlah sasaran pelaburan negara bagi 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Arham Abdul Rahman berkata pelaburan ESG tidak hanya meliputi pelaburan langsung asing (FDI) serta pelaburan langsung domestik (DDI) baharu, tetapi turut membabitkan pengembangan pelaburan oleh syarikat-syarikat sedia ada di Malaysia.

“Saya tidak hanya merujuk pelaburan baharu di Malaysia, tetapi juga syarikat-syarikat yang sememangnya telah beroperasi di sini. Syarikat multinasional (MNC) di Malaysia misalnya perlu memastikan bahawa produk yang dieksport semula itu patuh ESG.

“Malah, kami di sini juga dapat menyokong MNC agar patuh ESG. Kami mahukan semua dasar, kemudahan dan sokongan berkaitan dilaksanakan bagi memastkan Malaysia mampu menerima pelaburan baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas acara jaringan MIDA dan sesi panel mengenai agenda ESG Malaysia yang seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

Pada tahun lepas, Malaysia telah meluluskan sebanyak 889 projek teknologi hijau dan kecekapan hijau dengan nilai pelaburan mencecah RM3.7 bilion.

Bagi tempoh Januari 2022 hingga Mac 2022, kerajaan menerusi MIDA telah meluluskan sebanyak 212 projek teknologi hijau dan aktiviti perkhidmatan hijau yang berjumlah RM433 juta.

Selain itu, bagi tempoh 2001 hingga Mac 2022, MIDA turut meluluskan pelaburan berkaitan projek dan perkhidmatan hijau berjumlah RM35.5 bilion yang meliputi keseluruhan 3,186 projek.

Terdahulu dalam ucapannya, Arham berkata insentif teknologi hijau telah mendapat sambutan baik sejak diperkenalkan pada 2014.

“Pelanjutan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) sehingga Disember 2023 misalnya telah menerima sambutan amat menggalakkan daripada kalangan sektor perindustrian dan komersial.

“Berikutan itu, syarikat-syarikat digalakkan untuk melabur dalam sumber tenaga boleh baharu (RE), termasuk solat, biojisim, biogas dan hidro mini serta menggunakan peralatan cekap tenaga (EE) dan perkhidmatan hijau yang layak,” katanya.

Arham juga menyifatkan masih banyak peluang yang belum diteroka melibatkan bidang termasuk perkhidmatan berkaitan dengan RE, kecekapan tenaga, perkhidmatan sokongan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dan operasi stesen itu, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih EV, bangunan hijau, pusat data hijau, pensijilan dan kelayakan hijau serta perbandaran hijau.

Selain itu, mengulas mengenai prestasi pelaburan 2021 yang menyaksikan Malaysia meraih pelaburan diluluskan berjumlah RM306.5 bilion, beliau berkata ini didorong terutamanya oleh produk elektrikal dan elektronik (E&E) dan langkah penggiat semikonduktor meningkatkan pengeluaran masing-masing.

“Mereka telah meningkatkan pelaburan untuk menampung kekurangan bekalan akibat pertambahan permintaan susulan COVID-19.

“2021 adalah tahun amat cemerlang kerana projek-projek besar dalam sektor semikonduktor dan E&E. Bagaimanapun, saya optimis bahawa angka FDI secara keseluruhannya bagi 2022 juga masih baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Rangkaian Kepadatan Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Malaysia dan Brunei Shanta Helena Dwarkasing pada sesi panel pula menegaskan kepentingan aspek kemampanan untuk negara yang berhasrat untuk berdaya saing serta dilihat menarik di peringkat global.

“Banyak negara-negara Eropah dan ASEAN menunjukkan komitmen terhadap ikrar iklim masing-masing dengan langkah-langkah proaktif memandangkan ESG akan memberi nilai tambah yang diinginkan oleh pelabur.

“Justeru, kami menjangkakan Malaysia, khususnya menerusi penglibatan lebih banyak syarikat-syarikat seperti perusahaan kecil dan sederhana, akan mengamalkan standard ESG tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan