BERITA COVID–19   Penyelidik Taiwan temui kaedah rawat pembekuan darah pesakit COVID-19 | Pemilik premis dibenar tentukan pemakaian pelitup muka | Kementerian Kesihatan pertimbang beli vaksin COVID-19 lawan varian Omicron - Khairy | Kes baharu COVID-19 turun 16.9 peratus minggu lepas - Dr Noor Hisham | Jepun akan mudahkan¬†prosedur kuarantin COVID-19 di lapangan terbang | 
EKONOMI

Ferrotec akan mula bina kilang baharu di Kulim

09/08/2022 04:38 PM

KULIM, 9 Ogos (Bernama) -- Ferrotec Holdings Corp, syarikat global yang juga pembekal bahan komponen dan penyelesaian sistem ketepatan hari ini mengumumkan majlis pecah tanah bagi memulakan pembinaan fasiliti pembuatan baharunya di Kulim Hi-Tech Park di sini.

Kilang tersebut yang akan menjalankan kerja-kerja pemasangan elektromekanik dan fabrikasi bahan termaju bagi peralatan semikonduktor, berhasrat untuk memenuhi keperluan pelanggan sambil mengembangkan perniagaan kumpulan di serata dunia.

Exco Kanan Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi Kedah Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata Ferrotec akan membina kilang terkini yang berkeluasan 800,000 kaki persegi dengan jumlah pelaburan melebihi RM500 juta.

“Pelaburan ini dijangka mencipta kira-kira 800 pekerjaan bernilai tinggi di Kedah dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang, dan tentunya membantu memacu Kedah untuk menjadi negeri perindustrian dan maju,” katanya pada sidang akbar selepas majlis pecah tanah di fasiliti pembuatan Ferrotec di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Lim Bee Vian, CEO Invest Kedah Muhamad Mahazi Ibrahim dan CEO Kumpulan Ferrotec Holdings He Xian Han.

Ku Abd Rahman berkata Ferrotec akan memulakan pembinaan kilang tersebut dengan segera dan syarikat itu menjangkakan kilang yang akan dilengkapi jentera dan teknologi termaju itu akan mula beroperasi menjelang September tahun depan.

Dalam pada itu, Lim berkata pelaburan Ferrotec bukan sahaja memperlihatkan keyakinan syarikat tersebut ke atas cadangan pelaburan jangka panjang di Malaysia, malah, kedudukan industri pembuatan di negara ini yang berkembang maju.

Beliau berkata, walaupun mengalami persaingan dari negara-negara pengeluaran kos rendah, syarikat-syarikat jentera dan peralatan (M&E) di Malaysia terus berjaya menghasilkan produk nilai tambah tinggi dan perkhidmatan bersepadu, sekali gus menyokong keperluan syarikat multinasional dalam usahanya menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

“MIDA menyasarkan untuk membantu syarikat-syarikat ini dengan memberi kemudahan peluang pelaburan yang berterusan bagi mengembangkan keupayaan operasi untuk meningkatkan kualiti dan jumlah output,” katanya sambil menambah MIDA sedang menjalankan rundingan pelaburan untuk beberapa lagi projek besar ke Kedah.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan