EKONOMI

MATRADE: MASA YANG SESUAI UNTUK MALAYSIA, JEPUN PERKUKUH KERJASAMA DALAM INDUSTRI HALAL

11/08/2022 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata, kini adalah masa yang sesuai untuk Malaysia dan Jepun mengukuhkan kerjasama dalam industri halal berikutan minat mendalam yang ditunjukkan oleh Jepun, terutamanya dalam sektor makanan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata Malaysia perlu memanfaatkan peluang untuk berkembang dari segi pelaburan dengan Jepun memandangkan negara itu mempunyai teknologi yang sesuai, manakala Malaysia memiliki sistem rangkaian yang baik.

"Sudah tentu, kita juga mempunyai kepakaran dalam aspek pensijilan dan MATRADE akan terus membantu perniagaan dari kedua-dua negara dan memanfaatkan peluang dalam industri halal,” katanya pada Seminar Perniagaan Sempena Memperingati Ulang Tahun Ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP).

Mohd Mustafa merupakan antara ahli panel dalam perbincangan yang bertajuk “Dasar dan Strategi Kerajaan Untuk Menggalakkan Perdagangan dan Pelaburan di Malaysia.”

Menurutnya, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022) yang akan diadakan secara hibrid bermula 7 hingga 10 Sept, 2022 telah menerima penyertaan daripada 17 syarikat Jepun.

“Pada 2019 iaitu sebelum dilanda pandemik COVID-19, kita hanya menerima lapan pempamer dari Jepun berserta 10 pembeli, manakala pada tahun lepas kita menerima penyertaan 12 syarikat dan 21 pembeli melalui platform secara maya,” katanya.

Berikutan pertambahan jumlah itu, beliau berkata MATRADE akan terus mengadakan libat urus dengan rakan niaga Jepun untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.

“Saya percaya, ini platform dan lokasi yang sesuai untuk kita menjalankan perniagaan dalam sektor ini,” katanya.

Menurut MATRADE, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar bagi Malaysia dan destinasi eksport dan sumber import kelima terbesar pada 2021.

Eksport Malaysia ke Jepun pada tahun lepas bernilai RM75.82 bilion, manakala import dari negara itu bernilai RM73.94 bilion.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan