AM

Penduduk Kampung Bukit Kechik buat Jalur Gemilang guna daun mengkuang

26/08/2022 07:52 PM

TANAH MERAH, 26 Ogos (Bernama) -- Penduduk Kampung Bukit Kechik di sini mempunyai cara tersendiri bagi menyambut dan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan apabila mencipta Jalur Gemilang sepanjang 35 meter menggunakan daun mengkuang.

Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia Kampung Bukit Kechik Mohd Nor Hassan, 62, berkata penduduk kampung itu bergotong-royong menganyam daun mengkuang sejak 28 Julai lepas.

Beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan kali ini akan disambut secara lebih meriah berbanding ketika pandemik COVID-19 dan mereka inginkan kelainan agar lebih menarik.

"Bagi membuat Jalur Gemilang sebesar ini, penduduk bergotong-royong dengan pihak lelaki akan ke hutan mencari pokok mengkuang untuk diambil daunnya.

"Selepas dibuang duri kaum wanita pula akan melembutkan daun menggunakan bahan terbuang iaitu mesin getah sekerap sebelum dikeringkan seketika bagi memudahkan proses menganyam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Nor berkata kerjasama yang padu daripada penduduk kampung amat membanggakan, malah mereka sanggup bergilir-gilir melakukan kerja selain mencantikkan kampung dengan hiasan bendera di sekitar rumah dan kawasan kampung.

Beliau berkata kos untuk membuat Jalur Gemilang ini hanya kira-kira RM1,000 termasuk menyediakan makan minum kepada mereka yang terlibat dalam gotong-royong itu.

Menurutnya, sebelum pandemik COVID-19, penduduk kampung pernah mencipta Jalur Gemilang menggunakan buluh, hampas kelapa dan biji getah yang diperoleh di sekitar kampung tersebut.

"Jalur Gemilang daun mengkuang ini akan diarak pada 30 Ogos ini bermula dari jalan utama di kampung sebelum dipamerkan di Tadika Perpaduan dengan diiringi kanak-kanak yang berpakaian corak bendera.

"Sambutan juga akan dimeriahkan dengan nyanyian lagu Negaraku, persembahan dikir barat dan ceramah berkisar kemerdekaan pada ambang 31 Ogos," katanya.

-- BERNAMA


NANKB NBA2 HAZ


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan