HUNG YEN, 7 Okt (Bernama) -- Vietnam akan terus mempergiat usaha untuk mempromosi buah-buahan tempatan keluaran negara itu ke peringkat antarabangsa, kata Naib Ketua Jabatan Ekonomi Jawatankuasa Rakyat Bandar Hung Yen, Tran Van Tu.
Beliau berkata pihaknya juga aktif dalam usaha untuk meningkatkan kualiti buah-buahan tempatan termasuk buah longan bagi memastikan hasil pertanian itu lebih kompetitif dan berdaya saing di pasaran.
“China sebuah pasaran besar yang tidak boleh diabaikan jadi usaha untuk mempromosi buah longan menerusi platform e-dagang sudah giat dilaksanakan. Kami ingin melihat nama buah itu terkenal di luar negara, ” kata Tran.
Menurut kerajaan tempatan, jumlah pengeluaran longan di wilayah Hung Yen dijangka mencecah 45,000 tan tahun ini dan kira-kira 35 peratus daripadanya akan diproses menjadi longan kering sebelum dipasarkan ke China.
Memetik data Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (MARD) Vietnam, China kekal sebagai pasaran eksport utama buah-buahan dari Vietnam dengan pasaran sebanyak 64.7 peratus pada tahun lepas.
Menurut data Kementerian Perindustrian dan Perdagangan (MOIT), buah longan yang dieksport ke China pada 2022 dijangka melebihi 4,500 tan.
Prestasi eksport yang terus mantap turut membantu pengusaha ladang longan tempatan meraih pendapatan lebih tinggi.
Seorang pengusaha tanaman longan dari Hung Yen, Bui Xuan Tam berkata sejak 2000 beliau mula menguruskan kebun longan bersama lebih 10 pekebun lain.
“Permintaan terhadap longan amat tinggi sebab orang China dan orang Vietnam mempunyai tabiat memakan longan untuk penjagaan kesihatan.
“Terdapat lebih 10 kebun di sini, yang mampu memproses dan mengeksport 500 hingga 700 tan longan kering ke China setiap tahun.
“Ia turut menjanjikan pulangan pendapatan sebanyak 1.7 bilion Vietnam Dong (kira-kira RM331 ribu) bagi setiap kebun saban tahun,” kata Bui.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial