KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Rangkaian kedai kopi Indonesia berstatus unicorn, Kenangan Coffee melebarkan sayapnya ke pasaran Malaysia menerusi pembukaan rasmi outlet di Suria KLCC, menjadikannya premis antarabangsa pertama di luar Indonesia.
Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Edward Tirtanata berkata pengembangan syarikat itu ke luar pasaran Indonesia dimulakan di Malaysia dan beroperasi di bawah jenama Kenangan Coffee untuk outlet antarabangsanya.
Beliau berkata, pemilihan Malaysia sebagai negara pertama pelan pengembangan syarikat itu adalah berkait rapat dengan peningkatan memberangsangkan budaya kopi di negara ini, terutama konsep pantas ‘beli-dan-balik’ atau ‘grab-and-go’ selain kedua-dua negara itu yang mempunyai banyak persamaan dari segi profil cita rasa.
“Masa depan sektor makanan dan minuman (F&B) juga cerah di Malaysia, sejajar dengan transformasi negara ini ke arah negara ekonomi digital berpendapatan tinggi dengan tumpuan utama terhadap pendigitalan yang juga seiring dengan tumpuan operasi perniagaan kami.
“Malah, Kenangan Coffee ini bermula daripada matlamat kami untuk menjadikan kopi berkualiti pada harga berpatutan dan mudah diakses oleh semua golongan. Kami juga amat teruja untuk berkongsi perisa kopi Indonesia dengan rakyat negara ini,” katanya pada majlis perasmian outlet tersebut di sini, hari ini.
Edward berkata, syarikat itu menyasarkan pembukaan sehingga 10 outlet di Malaysia menjelang akhir suku pertama 2023 dengan empat lokasi kini dalam perancangan dan dijangka beroperasi akhir tahun ini.
Empat lokasi terbabit adalah MyTown Cheras, Pavilion Kuala Lumpur, NU Sentral KL dan Sunway Pyramid di Petaling Jaya.
“Sebelum memasuki pasaran baharu, khususnya di rantau ini, kami menyasarkan untuk membuka sehingga 100 outlet dan ini tertakluk kepada tahap pengembangan bagi setiap negara terbabit.
“Bagi pasaran Malaysia, kami sememangnya merancang untuk bertapak di negara ini secara meluas,” katanya.
Syarikat yang ditubuhkan pada 2017, telah berjaya melebarkan sayapnya ke lebih 850 outlet di 64 bandar di sekitar Indonesia dan muncul sebagai syarikat pertama di Asia Tenggara mencapai status unicorn bagi kategori F&B pada Disember tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial