Jadikan KWSP "Tabung Buluh" Bukan Penyelesaian Mampan Kos Sara Hidup - Pakar

K
UALA LUMPUR,  (Bernama) -- Bayangkan di tangan anda hanya ada RM42 untuk dibelanjakan setiap bulan selama 20 tahun selepas bersara kelak.

Itulah kemungkinan yang dihadapi oleh kira-kira 6.1 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun ke bawah, berikutan simpanan hari tua mereka hanya berbaki kurang daripada RM10,000 setakat Disember 2021.

Hakikat itu dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Mac tahun lalu, semasa mengulas kedudukan simpanan persaraan kira-kira 12.6 juta pencarum tabung berkenaan selepas tiga kali pengeluaran khas, iaitu i-Lestari, i-Sinar dan yang terakhir i-Citra pada Februari 2022.

Jelas, kerajaan juga khuatir dengan hal itu apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad lepas, dilapor tegas menyatakan lebih baik kerajaan memikirkan bentuk bantuan lain daripada membenarkan pengeluaran khas KWSP sekali lagi seperti yang digesa oleh beberapa pihak.

Pakar ekonomi yang dihubungi Bernama bersetuju dengan kenyataan Anwar apabila masing-masing melihat pengeluaran KWSP bukan penyelesaian mampan terhadap masalah kewangan rakyat dalam mengharungi peningkatan kos sara hidup sekarang.

  

TANGANI ISU KOS SARA HIDUP

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohamad Fazli Sabri

Meletakkan kenaikan harga  barang dan perkhidmatan sebagai antara penyumbang utama kesempitan hidup sebahagian masyarakat sekarang, Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata bagi menyelesaikan masalah ekonomi yang membebani rakyat, kerajaan perlu mencari penyelesaian proaktif dan tuntas.

Ini termasuk memperkasa rantaian bekalan dan sekuriti makanan bagi memastikan harga barangan dapat diturunkan serta kekal terkawal, katanya kepada Bernama.

“Saya percaya jika masalah kos sara hidup dan isu berkaitan peningkatan harga barang ini  dapat ditangani dengan baik, kebajikan rakyat akan terbela,” tambah beliau, menokok inisiatif yang diambil juga harus dilaksanakan secara berterusan sehingga ekonomi benar-benar pulih.

Beliau tidak menolak ramai yang melihat simpanan KWSP sebagai “penyelamat segera” mereka bagi mendapatkan tunai secara mudah demi kelangsungan hidup semasa.

“(Atas sebab itulah) kerajaan perlu cari penyelesaian menyeluruh kerana kita lihat isu kenaikan harga barang ini bukan isu lokal semata-mata sebaliknya adalah isu global yang turut didepani negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara Eropah.

“Sekiranya pencarum mahu keluarkan simpanan mereka atas alasan itu, kita juga khuatir cabaran yang akan kita hadapi pada masa akan datang. Mungkin keadaan ekonomi ketika itu lebih mencabar dan bagaimana pencarum nak ‘survive’ pada waktu itu dengan tabungan (persaraan) yang sangat sedikit,’’ tambah Mohamad Fazli.

Baru-baru ini Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) menggesa kerajaan menimbang pengeluaran caruman KWSP antara RM10,000 dan RM30,000 secara sekali gus, yang mana menurut Presidennya Khairul Anuar Othman, bertujuan mengelak rakyat terputus perbelanjaan tunai.

Ini kerana katanya masih ada pencarum terkesan oleh tempias COVID-19 termasuk belum memperoleh pekerjaan baharu selepas diberhentikan ketika penularan pandemik itu memuncak, sedangkan mereka mempunyai komitmen kewangan yang tinggi seperti tunggakan bayaran balik pinjaman.

 

IMPAK KEHIDUPAN SEBAGAI PESARA

Gambar fail

Kementerian Kewangan sebelum ini dilaporkan berkata pengeluaran khas, khususnya daripada Akaun 1 KWSP, memberi kesan jangka panjang iaitu pengurangan jumlah simpanan persaraan yang agak ketara bagi mereka yang berkenaan.

Menurut kementerian itu lagi, tiga pengeluaran khas yang dibenarkan oleh kerajaan sebelum ini memanfaatkan 7.34 juta ahli dengan jumlah keseluruhan yang dikeluarkan sebanyak RM101 bilion.

Pengeluaran khas itu juga katanya menyebabkan penurunan ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada usia 55 tahun) daripada 36 peratus pada 2020 kepada 30 peratus pada akhir 2021.

Keadaan itu secara langsung menunjukkan 70 peratus atau lebih dua pertiga daripada ahli berumur 55 tahun dan ke bawah, berada dalam situasi serius apabila jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

"KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara empat  dan enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang dikeluarkan semasa pandemik,” kementerian itu dipetik berkata.

Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata bersandarkan kenyataan itu, pencarum berkemungkinan besar tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk menikmati hari-hari tua sekiranya mereka sekali lagi dibenar mengeluarkan caruman KWSP.

“Pencarum harus berbalik kepada tujuan asal mengapa mereka mencarum di KWSP.  Seperti yang kita tahu, KWSP merupakan tabung simpanan persaraan, tetapi jika selepas persaraan, pencarum tidak cukup wang simpanan, ia pastinya akan wujud masalah di sini, jadi bagaimana mereka mahu mengharapkan KWSP membantu mereka,” ujarnya.

 

TIDAK SEMESTINYA BANTUAN TUNAI 

Mohamad Fazli juga berpandangan ada pelbagai pendekatan tidak bersandarkan bantuan tunai boleh diambil oleh kerajaan termasuk bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan  (GLIC) menerusi penawaran pekerjaan kepada yang terjejas. 

“Pendedahan dalam bidang kemahiran dan teknikal serta berkaitan ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ akan  meningkatkan kebolehpasaran mereka seiring dengan trend industri semasa.

“Mereka yang minat berniaga, atau perniagaan terjejas akibat COVID-19, mungkin boleh diberi bantuan oleh agensi berkaitan dari segi latihan dan peralatan selain modal,” katanya.

Ketua Jabatan Kewangan dan Perbankan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya Profesor Madya Dr Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan

Pandangan senada turut disuarakan Ketua Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Prof Madya Dr Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan yang melihat ekonomi gig serta perusahaan kecil dan sederhana sebagai pendekatan tepat untuk menjana ekonomi rakyat.

Syor beliau, menerusi pendekatan itu, kerajaan memberikan insentif kepada syarikat yang bersedia menggaji mereka yang masih menganggur selepas diberhentikan kerja.

“Perkara ini pernah dilaksanakan kerajaan terdahulu tetapi mereka (syarikat) diberikan insentif tunai…bagi saya, tidak perlu insentif tunaipun, mungkin kerajaan boleh memberi insentif menerusi pemotongan cukai kepada syarikat terbabit sekiranya mereka membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan,” sarannya.

Pada masa sama beliau tidak menyangkal ada antara rakyat yang benar-benar kesempitan dan memerlukan aliran tunai segera demi kelangsungan hidup, khususnya bagi mendapatkan barangan keperluan asas termasuk menjelaskan bil utiliti.

Bagi menangani isu itu, beliau berpendapat pusat zakat boleh memainkan peranan  dengan memperluas pemberian bantuan kepada bukan asnaf yang kehilangan punca pendapatan.

Yakin kaedah itu dapat membantu mereka yang terdesak perlukan aliran tunai, Nurul Shahnaz berkata langkah tersebut juga boleh mengalihkan perhatian rakyat daripada KWSP yang seakan sudah menjadi “tabung buluh” mereka. 

“Mungkin juga bantuan boleh dibuka kepada bukan Islam yang memerlukan, misalnya memberikan bantuan modal untuk mereka memulakan perniagaan,” kata beliau.

Bagi menangani masalah bebanan bayaran balik pinjaman yang semakin meningkat berikutan kenaikan kadar faedah, beliau mengesyorkan pihak perbankan memainkan peranannya membantu kerajaan mengurangkan tanggungan rakyat.   

“Dulu pernah diberikan moratorium. Kali ini mungkin boleh diberikan pelepasan khas kepada mereka yang benar-benar dalam situasi sukar termasuk belum mempunyai pekerjaan.

“Ini boleh diteliti dari segi semak semula kadar faedah yang dikenakan ke atas pinjaman atau diselaraskan, diturunkan (kadar faedah semasa). Pihak bank boleh fikirkan mana-mana cara yang terbaik,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.