DUNIA

PILIHAN RAYA MYANMAR DI TENGAH-TENGAH KEGANASAN, KETUA PBB SUARAKAN KEBIMBANGAN

31/01/2023 12:59 PM

NEW YORK, 31 Jan (Bernama) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Isnin menyuarakan kebimbangan mengenai hasrat junta Myanmar untuk mengadakan pilihan raya di tengah-tengah pengeboman udara dan pembakaran kediaman serta penangkapan, intimidasi dan gangguan yang berterusan terhadap pemimpin politik dan wartawan.

''Pilihan raya yang dicadangkan itu berisiko memburukkan lagi ketidakstabilan, kerana situasi terkini tidak membenarkan rakyat Myanmar melaksanakan tanggungjawab politik mereka secara bebas,'' lapor Agensi Anadolu, memetik jurucakapnya, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Pada minggu lalu, tentera berjanji untuk mengadakan pilihan raya baharu pada Ogos.

Setiausaha Agung itu turut menyatakan solidariti dengan rakyat Myanmar dan menyokong aspirasi demokrasi mereka untuk membentuk masyarakat yang inklusif, aman dan adil serta perlindungan semua masyarakat termasuk Rohingya.

Beliau mengutuk sekeras-kerasnya semua bentuk keganasan kerana krisis berbilang dimensi terus merosot dan mencetuskan implikasi serantau yang serius.

Guterres juga memperbaharui gesaannya agar negara jiran dan negara anggota lain mengambil tindakan dengan mendesak kepimpinan tentera menghormati kehendak dan keperluan rakyat Myanmar serta mematuhi norma demokrasi, kata Dujarric.

Pada 1 Feb 2021, kerajaan Aung San Suu Kyi telah digulingkan dalam rampasan kuasa tentera selepas kemenangan parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi dalam pilihan raya negara pada November 2020.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan