EKONOMI

MITI RAIH FDI RM13 BILION MENERUSI MISI KE SINGAPURA

31/01/2023 06:00 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah berjaya meraih komitmen pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM13 bilion daripada tiga pelabur melalui misi pelaburannya ke Singapura.

Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata tiga syarikat iaitu Sea Ltd, Kumpulan Yondr dan INSEACT, secara kolektif telah memberi komitmen untuk melabur RM13 bilion di Malaysia. 

Pelaburan tersebut dijadualkan beroperasi dalam tempoh tiga tahun akan datang, katanya yang mengetuai misi itu sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura baru-baru ini.

Tengku Zafrul berkata komitmen pelaburan bernilai keseluruhan RM13 bilion itu mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Ia juga mencerminkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang telah lama terjalin dan saling menguntungkan di antara Malaysia dengan Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MITI berhasrat untuk mengembangkan dan mengukuhkan hubungan istimewa ini, terutamanya dalam membina daya tahan rantaian bekalan untuk industri masing-masing, berasaskan kerjasama dalam ekonomi digital dan ekonomi lestari, katanya.

 

Shopee

Sea Ltd, syarikat induk Shopee, platform e-dagang serantau terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan komited untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia, mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan. Syarikat itu berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan awan, pengehosan dan pemprosesan data serta gudang logistik e-dagang baharu di negara ini.

 

Yondr Group

Satu lagi pelabur adalah Kumpulan Yondr, peneraju global dalam pembangunan dan pengendalian pusat data yang berpangkalan di United Kingdom. Kumpulan Yondr yang menyalurkan lebih 500MW kepada pelanggan hiperskala terkemuka dunia, telah memasuki pasaran Malaysia dengan memperoleh tanah seluas 75 ekar di Sedenak, Johor dan membangunkan kampus pusat data hiperskala dengan kapasiti IT sebanyak 300MW.

Menurut MITI, pelaksanaan projek di Johor dijangka menghasilkan sebuah kampus pusat data hiperskala terbesar di Asia Tenggara dan bakal memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem digital Malaysia.

 

INSEACT

Syarikat ketiga, INSEACT ialah syarikat protein alternatif berpangkalan di Singapura dan pengeluar protein serangga untuk makanan akuakultur. Ia berhasrat untuk menubuhkan fasiliti pengeluaran di Johor sebagai fasiliti pertamanya di Asia Tenggara. Pendekatan unik dalam pengeluaran protein alternatif ini berpotensi untuk menampung permintaan Asia yang semakin meningkat bagi sumber makanan mampan.

“Kami berazam untuk membuktikan kepada pelabur bahawa Malaysia adalah pro-perdagangan, pro-perniagaan dan pro-pelaburan.

“MITI dan agensinya seperti MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) akan terus berusaha untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, strategik dan mampan yang bukan sahaja akan meningkatkan keluaran dalam negara kasar dan meningkatkan pembangunan ekonomi digital tempatan, malah mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat,” kata Tengku Zafrul.

Misi pelaburan yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan MITI dan MIDA merupakan satu penanda aras penting ke arah merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hab inovasi global dengan ekosistem pelaburan berdaya tahan dan mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan