IPOH, 20 Feb (Bernama) -- Fasa 1 projek jajaran jalan baharu dari Kampung Beng ke Kampung Raja Intan Suraya, yang menghubungkan kawasan daerah Lenggong dan Sungai Siput, dijangka siap sepenuhnya pada 15 Sept 2025.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak menerusi kenyataan memaklumkan, jalan sepanjang 4.15 kilometer (km) sepatutnya siap pada 8 Dis 2022, namun kontraktor yang dilantik telah gagal melaksanakan projek mengikut perancangan dan ditamatkan pada 27 Sept 2021, dengan kemajuan kerja 43.3 peratus.
JKR berkata proses pelantikan kontraktor baharu telah dibuat dan pembinaan jalan secara fizikal dilaksanakan pada 20 Sept lepas.
“Pelaksanaan projek ini melibatkan kos pembinaan berjumlah RM50.5 juta. Pembinaan jalan dalam Fasa 1 ini akan menghubungkan lima kawasan kampung iaitu Kampung Beng; Kampung Beng Dalam; Kampung Durian Lubuk; Kampung Durau dan Kampung Batu Reng,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, bagi Fasa 2 projek tersebut, kerja reka bentuk bagi jajaran jalan telah bermula pada 11 Nov 2021 dan proses pembinaan fizikal jalan dijangka siap pada 10 Nov 2025 dengan kos RM146 juta, bagi jalan sepanjang 9.31km itu.
Projek tersebut diluluskan bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan kerja-kerja reka bentuk awalan bagi jajaran jalan telah bermula pada 11 Nov 2010.
Setelah melalui proses penilaian pengurusan nilai dan penilaian kejuruteraan, jajaran keseluruhan sepanjang 13.46km pada peringkat perancangan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu Fasa 1 (4.15km) dan Fasa 2 (9.31km).
Projek berkenaan dijangka akan menjadi pemangkin terhadap peningkatan pembangunan sektor perikanan dan industri rekreasi bagi kawasan sekitar Tasik Chenderoh, terutama sekali bagi penduduk Kampung Beng yang akan mempunyai akses secara langsung ke kawasan Sungai Siput.
Cadangan jajaran jalan yang dipilih juga bertujuan untuk mengelakkan impak secara langsung terhadap kawasan perikanan dan Loji Kuasa Hidro-elektrik Tasik Chenderoh yang mana kegiatan tersebut merupakan antara sumber pendapatan utama bagi penduduk kawasan sekitar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial