KOTA BHARU, 9 April (Bernama) -- Sebanyak 2.971 juta pengguna kenderaan sudah memuat turun dan mendaftar melalui aplikasi MyJPJ sejak diperkenalkan pada 10 Feb lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim.
Beliau berkata sehingga kini JPJ masih mempromosikan kaedah tersebut bagi membolehkan pengguna kenderaan mendaftar melalui aplikasi berkenaan.
"Setakat ini usaha berjalan lancar dan saya menyeru seluruh masyarakat supaya turut sama memuat turun aplikasi ini untuk memudahkan urusan.
"Sekarang ini kita pamerkan untuk membiasakan masyarakat mengenai MyJPJ digital dan menjelang pertengahan tahun ini aplikasi ini akan dinaik taraf untuk menunjukkan dan memperbaharu lesen," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama 40 Anak Yatim dan Asnaf yang turut dihadiri Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Zailani berkata usaha pendigitalan itu dilakukan kumpulan teknologi maklumat JPJ sendiri tanpa sebarang konsultan.
"JPJ akan menggunakan alat Smart Management Enforcement Device (SMED) bagi mereka yang ada isu berhubung ketiadaan liputan Internet dan kesukaran penggunaan telefon.
"Bagi pemandu yang mempunyai masalah untuk mempamerkan lesen memandu dan cukai jalan digital, kita akan menggunakan alat SMED dengan membuat pendaftaran identiti (ID) mereka untuk mengakses lesen dan cukai jalan secara digital," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zailani berkata sempena Aidilfitri, jabatan itu turut membekukan cuti anggota penguatkuasanya bagi menjalankan tugas pemantauan.
"Penguatkuasaan bagi Op Raya akan bermula sebelum, semasa dan selepas Aidilfitri dalam memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan bagi mengelak berlaku banyak kemalangan.
"Pengguna juga perlu merancang jadual perjalanan terutama mereka yang akan pulang ke Kelantan, yang kita jangka akan berlaku kesesakan di Gua Musang susulan penutupan jalan bagi kerja pemasangan cerucuk jambatan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) pakej 3B dan 3C," katanya.
Beliau berharap pengguna jalan raya tidak hanya bergantung kepada laluan berkenaan kerana masih ada beberapa pilihan laluan untuk masuk ke Kelantan bagi mengelak kesesakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial