AM

Persiapan Aidilfitri Sederhana Di Sabah

17/04/2023 04:47 PM

Oleh Noorazlina Jindeh

KOTA KINABALU, 17 April (Bernama) -- Rata-rata penduduk Sabah membeli barangan keperluan dan membuat persiapan secara sederhana bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, susulan peningkatan harga barang berbanding tahun lepas dan keadaan ekonomi masa kini.

Tinjauan Bernama mendapati peniaga di negeri ini pula berusaha sedaya upaya memberikan harga berpatutan kepada orang ramai, namun beberapa hari lagi menjelang Aidilfitri permintaan terhadap barangan persiapan perayaan itu, khususnya kuih dan biskut, masih hambar.

Mengakui perkara itu, peniaga kuih raya Salmah Shakil, 49, yang telah berniaga sejak 2006 berkata harga kuih yang agak mahal antara faktor kurangnya hasil jualan pada tahun ini, selain persaingan daripada peniaga secara dalam talian.

"Tahun lepas jualan alhamdulillah tetapi tahun ini betul-betul sangat perlahan (jualan). Harga memang mahal tetapi kalau ada yang minta kurang, kami ada diskaun juga dan kami cuba beri harga berpatutan untuk pembeli," katanya kepada Bernama di bazar Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) di sini hari ini.

Salmah berkata biskut dan kuih raya yang dijual di premisnya diperoleh daripada rakan-rakannya namun beliau perlu mencuba biskut berkenaan sebelum dijual agar ia memenuhi cita rasa pelanggan.

Nurul Syazwani Abdul Ghani, 34, pula mengakui harga jualan kuih rayanya sedikit meningkat berikutan kenaikan harga barang pada ketika ini, namun ibu kepada tiga cahaya mata itu bersyukur kerana masih ada pelanggan tetap yang membeli kuih ditempah khas dari Johor Bharu itu.

"Harga-harga kuih memang ada naik sikit tahun ini sebab sekarang naik (harga barang) tetapi masih juga ada pembeli," katanya yang telah berniaga selama 15 tahun.

Bagi ibu tunggal Nuridah Sallih, 53, yang mempunyai tujuh cahaya mata, persiapan hari raya tahun ini disambut sederhana dan menggunakan barang keperluan tahun lepas yang masih elok. 

"Dalam keadaan sekarang, kewangan kita, bajet kita pun cukup-cukup saja, apa lagi macam saya, saya hanya ibu tunggal, jadi sekadar apa yang ada itulah yang saya persiapkan," katanya yang juga menjual minyak wangi.

Amran Abdullah, 51, penjawat awam juga hanya membuat persiapan ala kadar sempena Aidilfitri tahun ini kerana dalam keadaan ekonomi ketika ini, katanya, perbelanjaan seharian lebih diutamakan daripada persiapan raya.

"Harga barangan memang agak tinggi termasuk peralatan pakaian, keperluan harian juga tinggi, harga itu memang pada paras yang tinggi berbanding beberapa tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah Georgie Abas berkata sebanyak 21 barangan keperluan harian diletakkan sebagai barangan harga terkawal dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2023.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa menempatkan pegawai di lokasi tumpuan orang ramai bagi melakukan pemantauan dan pemeriksaan sepanjang skim itu berlangsung, bermula Sabtu lepas (15 April) hingga 30 April ini.

"Setakat ini sebanyak 244 premis telah diperiksa dan tiada kes dikemukakan. Tahun lepas 4,667 pemeriksaan telah dijalankan seluruh Sabah bagi lima SHMMP iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya, Pesta Kaamatan, Deepavali dan Krismas, daripada pemeriksaan tersebut 19 kes dikenal pasti,” katanya.

Katanya KPDN sentiasa mengalu-alukan sebarang aduan mengenai harga barang termasuk barangan persiapan raya daripada orang ramai menerusi Whatsapp 019-279 4317 atau 019-848 8000; portal aduan e-aduan.kpdn.gov.my; dan talian aduan 1-800-886-800.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan