POLITIK

Pm Anwar Minta Abdul Hadi Tidak Guna Naratif Kolot, Jumud Untuk Serang Kerajaan

02/06/2023 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meminta Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang agar tidak menggunakan naratif kolot dan jumud, untuk menyerang Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya, Anwar menegaskan Abdul Hadi atau pembangkang harus menilai dari segi dasar kerajaan dan bukannya mengenai jumlah majoriti parti Islam atau bukan Islam.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata sebagai sebuah negara pelbagai kaum, dalam mengangkat penghayatan Islam, hak bukan Islam juga harus dipelihara bagi menjamin keamanan negara.

“Yang penting dasar, di mana dasar yang kita (kerajaan) tinggalkan Islam, yang kita khianat orang Melayu, di mana yang kita curi tanah Melayu, curi saham, curi projek-projek di mana? Ini yang patut kita nilai, jangan gunakan naratif kolot dan jumud,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran ‘Lukisan Orientalis: Cerminan Atau Bayangan?’, di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini hari ini.

Anwar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Abdul Hadi, yang mendakwa PH tidak sesuai menjadi kerajaan dan memimpin negara kerana gabungan politik itu dikuasai parti bukan Islam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak mahu rakyat dipesongkan dengan sentimen seperti yang didakwa Abdul Hadi.

Menurutnya kejayaan sesebuah kerajaan ialah mempertahankan Perlembagaan; meningkatkan makna budaya, bahasa dan Islam; membasmi kemiskinan dan menjaga keharmonian antara kaum.

Beliau berkata menghentikan amalan menggunakan kuasa atau kedudukan untuk merompak harta rakyat, juga perkara yang harus ditekankan kerajaan dan pembangkang.

“Kalau tengok naratif yang lama-lama dalam kalangan orang yang ada kes kalau ikut, kalau diteliti betul-betul dia takut untuk disiasat, kamu sudah ambil, pulangkan balik. Itu sahaja yang saya perlukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan