JENAYAH & MAHKAMAH

Rosmah Mohon Batal 17 Pertuduhan Elak Cukai, Pengubahan Wang Haram

07/09/2023 12:48 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 13 Dis ini untuk mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor bagi membatalkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh tersebut pada pengurusan kes hari ini selepas peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Rosmah memaklumkan pihaknya memfailkan permohonan itu semalam.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu memfailkan notis usul tersebut, memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada kesemua 17 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 4 Okt 2020.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul itu, Rosmah mendakwa pertuduhan dikenakan ke atasnya adalah tanpa asas, defektif selain tidak mendedahkan sebarang kesalahan dalam undang-undang.

“Kesemua pertuduhan tersebut secara asasnya adalah berlandaskan bahawa saya kononnya gagal untuk memfailkan pulangan diperlukan di bawah Seksyen 77 (1) Akta Cukai Pendapatan, 1967 (Akta 53) yang bertentangan dengan Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pada masa material, Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak pernah menyerahkan kepada saya sebarang taksiran, permintaan dan tuntutan seperti diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 tersebut yang menjadikan jumlah itu boleh dikenakan bayaran,” dakwanya.

Dakwa Rosmah, hanya Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) yang mempunyai hak untuk menentukan sekiranya jumlah tersebut adalah tertakluk kepada pembayaran cukai dan bukannya mahkamah.

“Jika mahkamah jenayah meneruskan dengan penentuan tersebut (iaitu sama ada jumlah tersebut perlu pembayaran cukai) maka ia akan mengambil alih fungsi SCIT yang merupakan satu badan diberi kuasa melalui undang-undang bertulis.

“Saya mempunyai hak substantif dan hak perlembagaan untuk dilayan secara saksama dan mempunyai hak perundangan substantif di bawah Bahagian VI Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan rayuan terhadap apa-apa taksiran dilakukan pihak LHDN yang jelas dinafikan kepada saya dalam kes ini,” katanya. 

Rosmah, 71, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Perbicaraan bagi kes ini bermula pada 24 Ogos lepas dan dua saksi telah dipanggil memberi keterangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan