JOHOR BAHRU, 8 Sept (Bernama) -- Selepas 14 hari tempoh berkempen yang berakhir pada tengah malam ini, seramai 205,810 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, esok.
Seramai 165,509 pemilih berdaftar akan mengundi bagi Parlimen Pulai, sementara bagi DUN Simpang Jeram melibatkan 40,301 pengundi akan memilih wakil rakyat baharu untuk menggantikan penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
PRK di kedua-dua kerusi itu diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
PRK Pulai dan Simpang Jeram menyaksikan saingan tiga penjuru di dua kerusi itu, melibatkan pertembungan antara calon Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.
Pada Selasa lepas, seramai 927 pengundi awal melibatkan pegawai dan anggota polis selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi Parlimen Pulai, manakala tiada pengundi awal di Simpang Jeram.
Bagi proses pengundian yang bermula pada pukul 8 pagi sehingga 5 petang esok, sebanyak 47 pusat mengundi melibatkan 294 saluran disediakan di Parlimen Pulai, manakala 14 pusat mengundi dengan 68 saluran dibuka bagi DUN Simpang Jeram.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 2,692 petugas SPR akan ditugaskan bagi proses pengundian di Pulai, manakala 678 petugas di Simpang Jeram.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang ditemui selepas meninjau persiapan petugas SPR di Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Johor Bahru hari ini berkata suruhanjaya itu menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua PRK itu sekitar 70 peratus.
Dalam pada itu, Penganalisis Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid menjangkakan peratusan keluar mengundi esok bakal menjadi penentu kepada jumlah majoriti yang akan diperoleh pemenang di kerusi parlimen dan DUN itu.
Beliau berkata misalnya Parlimen Pulai yang menjadi kubu kuat PH selama dua penggal boleh mendapat majoriti yang lebih selesa jika semua pengundi PH dan BN keluar mengundi esok.
“Sekiranya jumlah pengundi keluar esok sangat tinggi, ini akan menjadi penentu kepada peratusan jumlah majoriti kepada calon yang menang dan jika gabungan PH-BN menang ini menterjemahkan sokongan serta penerimaan rakyat terhadap ganbungan itu,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu semakan di portal Jabatan Metrologi Malaysia setakat 11 pagi hari ini, bagi daerah Johor Bahru dan Muar diramalkan berlaku ribut petir di satu dua tempat pada sebelah pagi hingga petang esok.
Berbaki kurang 15 jam tempoh berkempen sehingga 11.59 malam ini, kesemua enam calon bertanding bagi PRK Pulai dan Simpang Jeram terus melaksanakan pecutan saat akhir kempen bagi memenangi hati pengundi sebelum ‘menyerahkan nasib’ mereka kepada rakyat.
Berdasarkan jadual kempen calon-calon, hampir kesemua parti bertanding mengadakan ceramah ‘grand finale’ malam ini,yang turut dihadiri pemimpin tertinggi parti masing-masing.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lepas, Salahuddin yang memperoleh 64,900 undi di kerusi Parlimen Pulai menang dengan majoriti undi 33,174, manakala bagi DUN Simpang Jeram beliau mendapat 8,749 undi dengan majoriti undi sebanyak 2,399.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial