Oleh Balqis Jamaludin
MARANG, 22 Sept (Bernama) -- Kegigihan Muhammad Nor Syahidin Abu Hassan mengusahakan ladang ternakan ayam berteknologi moden miliknya di sini, wajar dijadikan contoh terutama oleh golongan muda yang lain.
Ladang ternakan ayam seluas 1.2 hektar milik pemuda berusia 32 tahun itu sehingga kini telah menempatkan sebanyak 25,500 ekor anak ayam yang disasarkan untuk membantu memenuhi permintaan bekalan ayam di Terengganu.
Pemilik Dinsan Farm itu berkata ladang berkapasiti sehingga 150,000 ekor ayam yang mula beroperasi pada Selasa (19 Sept) itu dilengkapi dengan mesin yang membolehkan makanan serta minuman ayam disalurkan ke seluruh reban secara automatik pada setiap masa tanpa memerlukan tenaga pekerja yang ramai.
“Mesin ini saya beli daripada sebuah syarikat dari Jerman berharga RM300,000. Kalau ladang ayam tradisional, kita memerlukan antara tiga hingga empat orang pekerja untuk meletakkan makanan secara manual. Tetapi melalui mesin ini kita hanya tuang makanan dalam satu bekas besar, tekan suis dan makanan akan disalurkan ke seluruh reban.
“Malah adik perempuan saya yang bekerja dengan saya juga boleh menguruskan makanan ayam tanpa perlu mengangkat guni yang besar. Ia juga boleh mengurangkan kacau ganggu manusia terhadap anak ayam yang mudah terkena penyakit,” katanya ketika ditemui Bernama di ladang ternakan ayam Dinsan Farm di sini.
Muhammad Nor Syahidin berkata meskipun peralatan moden tersebut telah lama digunakan di luar negara namun ia hanya mula digunakan di Malaysia sejak lima hingga 10 tahun lepas.
Bagaimanapun katanya sehingga kini tidak ramai penternak tempatan mampu memiliki mesin tersebut dan hanya menggunakan kaedah tradisional ekoran harganya yang mahal.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Risiko dan Takaful) serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata minatnya yang mendalam terhadap dunia penternakan sejak di bangku sekolah telah mendorongnya untuk mengusahakan ladang tersebut.
Katanya beliau mula berkecimpung dalam bidang ternakan ayam pada 2017 dengan menternak lebih 20,000 ekor anak ayam di atas ladang yang disewa daripada UniSZA di Kampung Pasir Akar dekat Jertih.
“Ladang yang saya usahakan di Jertih itu juga saya gunakan mesin berteknologi moden yang sama. Kini ladang tersebut masih beroperasi seperti biasa walaupun saya telah membuka ladang baharu di Marang ini, tanah disewa daripada nenek saya,” katanya.
Anak jati Marang itu bersyukur kerana menerima sokongan daripada pelbagai pihak yang membantu merealisasikan impiannya untuk mengusahakan Dinsan Farm seperti Pertubuhan Peladang Kawasan Marang yang memberikan geran bantuan termasuk jentera berjumlah kira-kira RM80,000 serta pihak bank yang memberikan pinjaman lebih RM700,000.
Katanya bantuan yang diberikan tersebut dapat menampung perbelanjaan keseluruhan untuk membangunkan ladang yang berjumlah RM1.3 juta itu.
Ditanya mengenai sasarannya, Muhammad Nor Syahidin nekad untuk menternak sehingga satu juta ekor ayam pada masa depan.
Sementara itu ketika dihubungi Bernama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kerajaan negeri Terengganu akan memberi sokongan dan bantuan sebaik mungkin bagi meningkatkan kapasiti ternakan ayam di ladang pemuda itu.
“Perancangan tidak hanya berhenti di sini sahaja. Sasarannya ialah untuk menambah keluasan ladang sehingga mampu menampung 150,000 ekor ayam bagi setiap pusingan. Tentu sekali kerajaan negeri akan terus membantu tanpa ragu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial